Ditewaskan Ryan Bakery, Acap S menangis terkenangkan ibu - Utusan Malaysia

Ditewaskan Ryan Bakery, Acap S menangis terkenangkan ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pempengaruh media sosial, Acap S, mengakui menyimpan hasrat untuk bergelar pemenang menerusi pencalonan finalis kategori Best National Comedy Influencer sempena KNKV Award 2024 yang berlangsung di ibu negara, kelmarin.

Bagaimanapun, menganggap rezeki tidak berpihak kepadanya, Acap atau nama sebenarnya, Mohammad Asraf Jaafar, 29, berkata, dia akur dengan ketentuan takdir apabila tewas di tangan sahabatnya, Ryan bakery.

“Saya gembira apabila nama Ryan diumumkan sebagai pemenang tapi dalam masa yang sama bersedih dengan kekalahan sendiri. Ini merupakan penampilan perdana saya ke dalam industri hiburan tanah air.

“Memang saya datang dengan harapan yang sangat tinggi untuk menang dalam kategori berkenaan. Tak mengapa, ini merupakan pengalaman pertama saya bersama dengan barisan pempengaruh tanah air dalam acara berkenaan, itu sudah cukup menggembirakan,” katanya.

Selain Acap S dan Ryan, turut tercalon dalam kategori berkenaan terdiri daripada We Xiang Tan, Ikhmal Nour dan Imran Bard.

Sementara itu, Acap yang mempunyai sejuta pengikut di TikTok dengan nama @acaps19, mengakui sebenarnya bersedih apabila mengenangkan hasrat ibunya yang mahu melihat dia meraih kemenangan menerusi anugerah tersebut.

Menurut Acap, sejak beberapa tahun lalu, kesihatan ibunya, Jamilah Ahmad, semakin merosot namun sangat mengharapkan kemenangannya pada malam berkenaan.

“Malam itu ibu melihat saya di TV. Awal-awal lagi dia mengharapkan saya membawa pulang trofi tapi berakhir hampa.

“Saya menangis mengenangkan perkara itu memanandangkan ahli keluarga lain turut mengharapkan perkara yang sama.Lagi satu saya terkilan kerana tak dapat menghadiahkan kemenangan itu kepada isteri saya, Nur Adriana Syazwani Asrul Affendi dan peminat yang mengundi saya sejak awal lagi.

“Mereka begitu gigih mengundi dan saya harap semuanya bertenang, kita cuba lagi pada lain masa,”katanya.

Jelasnya, Adriana begitu teruja saat namanya mula dicalonkan dan mereka sudah merancang pelbagai strategi untuk meraih undian sejak awal pencalonan lagi.

Mengimbas kembali perjalanan seni, kata Acap S, dia terlebih dahulu dikenali menerusi aplikasi Bigo Live sebelum beralih sebagai selebriti TikTok.

Malah, turut terlibat dalam beberapa buah drama dan filem tempatan termasuklah Muliakah Aku, Keluarga Kamil, Siti Supir dan Jiwa 18.

Dalam pada itu, kata Acap S, dia akan mempertimbangkan segala tawaran berlakon memandangkan ketika ini dia masih tinggal di Gerik, Perak kerana menjaga ibunya.

“Tidak ada perkara paling membahagiakan selain dapat menjaga ibu. Sejak arwah ayah meninggalkan kami hampir satu dekad yang lalu, sayalah yang menjaganya. Segala keperluan disiapkan untuk ibu sebelum saya keluar bekerja.

“Kalau ada tawaran berlakon memang saya mahu kembali aktif memandangkan itu memang sudah menjadi minat sejak dahulu. Kalau boleh memang saya mahukan watak kelakar kerana itu memang minat sejak dahulu.

“Tapi sekarang pun saya gembira dapat menghiburkan pengikut setiap kali live di TikTok,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya