KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aina Abdul, menafikan khabar angin kononnya berselisih faham dan bermasam muka dengan penyanyi, Nadeera, seperti didakwa beberapa pihak.
Kata Aina, atau Nurul Aina Abdul Ghani, 30, hubungan mereka masih baik walaupun tidak lagi rapat kerana masing-masing sudah mempunyai haluan berbeza.
“Memang tiada perselisihan faham antara kami. Saya memang berkawan dengan semua orang, namun tiada siapa yang betul-betul rapat.
“Dahulu, kami sama-sama sedang mencari arah untuk menonjolkan bakat masing-masing. Kini laluan kami sudah berbeza,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah juara Anugerah Juara Lagu ke- 37 itu lagi, walaupun tidak serapat dahulu, namun dia sentiasa mendoakan kejayaan buat Nadeera.
“Saya percaya, semua orang sudah pun mempunyai kehidupan masing-masing.
“Walaupun tidak selalu jumpa, namun saya tetap mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya.
Sebelum ini, Aina pernah mendedahkan kepada media bahawa dia sudah lama mengenali Nadeera.
Mereka berdua pernah tinggal serumah selain mengakui sering mendengar Nadeera bernyanyi di dapur.
Aina Abdul dan Nadeera juga pernah memasuki pertandingan nyanyian yang sama iaitu Mentor Legend pada tahun 2014.
Bagaimanapun, seorang peserta bernama Azmil yang merupakan protege kepada Dayang Nurfaizah dinobatkan sebagai juara.