Wajah persis Roslan Shah, Rayme Zainal anggap tempias rezeki - Utusan Malaysia

Wajah persis Roslan Shah, Rayme Zainal anggap tempias rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Rayme Zainal mengakui tidak pernah berhajat untuk menumpang rezeki Roslan Shah hanya gara-gara dia dikatakan memiliki wajah persis artis versatil kelahiran Singapura itu.

Menurut bekas peserta program All Together Now Malaysia dua tahun lalu, dia tidak dapat mengawal pandangan orang ramai setiap kali disamakan dengan Roslan.

“Sejujurnya, saya tak pernah ada niat untuk menumpang popularitinya (Roslan), tapi apabila orang selalu cakap muka kami sama, saya anggap itu rezeki terpercik.

“Apatah lagi dikaitkan dengan orang ternama, itu satu bonus!” katanya.

Kongsi penyanyi lagu Close To You ini lagi, dia juga pernah bertemu dengan Roslan sebelum ini dan menerima komen yang serupa daripada empunya diri.

“Muka saya ni mungkin sekali pandang nampak macam Roslan Shah, sampaikan ada yang pernah panggil saya dengan namanya sejak zaman belajar lagi. Tapi bila tengok cermin banyak kali, tak ada pun.

“Pernah kami ambil gambar bersama, orang cakap kami adik-beradik. Kalau begitu seiras, saya terima sajalah.

“Malah, ketika kami bertemu sebelum ini pun, dia kata wajah saya seperti dia ketika zaman muda-muda dulu,” katanya.

Dalam pada itu, kata Rayme, dia berharap supaya perihal wajah yang sama dengan Roslan itu tidak membataskan peminat untuk meneroka bakatnya dalam bidang nyanyian dan penciptaan muzik.

Kata Rayme, dia juga bersyukur kerana setakat ini, lagu berbahasa Inggeris berjudul Close To You telah melakar kejayaan dan telah didengar lebih 60,000 kali di Spotify.

Lagu berkonsep healing berbahasa Inggeris pertama ciptaannya itu juga mendapat sentuhan muzik dari penerbit muda, Jason How.

“Close To You mengisahkan tentang bagaimana kita selalu ingin dekat dengan orang yang disayangi meskipun terpisah jarak dan waktu.

“Satu pencapaian kepada saya apabila Close To You menerima sambutan dari pendengar bukan Melayu.

“Pencapaian ini menjadi pembakar semangat saya untuk terus berkarya. Saya juga berharap agar stesen radio tempatan lebih bersikap terbuka dengan memutarkan lagu-lagu Inggeris tempatan kerana kualitinya setanding dengan lagu-lagu Inggeris antarabangsa,” tambahnya.

Rayme juga muncul dengan single berbahasa Inggeris keduanya berjudul A Matter of Time pada 3 November 2023 dan pernah popular menerusi lagu berjudul Andai.

Dalam perkembangan lain, Rayme bakal melancarkan album mini pertamanya pada tahun ini dan berkolaborasi dengan Sharon Paul untuk lagu raya pertamanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN