KUALA LUMPUR : Penyanyi, Syada Amzah, dipercayai sedang cuba mempertahankan kenalan selebritinya, Cupcake Aisyah, yang kini sedang diuji dengan kontroversi bersama anak pelakon senior, Azhar Sulaiman, iaitu Kasih Iris Leona.
Menerusi satu hantaran di Instagram hari ini, Syada membidas warganet yang mengecam Cupcake Aisyah mahupun Leona apalagi sehingga melibatkan ibu bapa dan keluarga orang lain.
“Saya dah cuba menahan untuk tak menyentuh hal ini tetapi saya geram. Dalam hal ini, tiada siapa yang 100 peratus betul atau salah. Dalam apa-apa hubungan pun akan ada perbalahan, akan ada dua cerita di dua belah pihak.
“Memandangkan benda ini pasal orang lain dan orang yang lebih muda daripada kita, tolonglah rasional. Salah faham begini banyak terjadi semasa zaman persekolahan. Sekarang kita semua dah dewasa dan masing-masing ada kerja kena buat.
“Jadi fokuslah pada itu.Kenapa nak campur hal orang lain? Kalau pasal A dan B, kenapa sampai ganggu ibu bapa mereka? Fikir lah eh, kalau ia terjadi kepada kamu dan keluarga sendiri bagaimana? Sangat-sangat tak cool, biadap,”katanya.
Selain itu, kata Syada lagi, dia tidak bersetuju jika warganet terus menimbulkan spekulasi di media sosial sehingga mencetuskan perkara tidak betul yang lebih melarat.
“Jika apa yang dispekulasikan ini tidak betul, fitnah, dan awak adalah individu yang jadi penyebab fitnah ini tersebar. Dosa makin bertambah dan jika orang yang terkesan itu meninggal dunia macam mana awak nak minta maaf?” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Hasrat ini mengaitkan dengan tindakannya sebelum ini yang memuat naik kempen mengenai kesedaran mental di media sosial.
“Sebab itulah saya muat naik pasal kesedaran kesihatan mental sebelum ini. Macam saya punya mode survival memang lain macam. Saya dah tak kisah apa orang cakap tentang sata lagi bila ia tidak betul.
“Tapi kalau awak semua nak juga buat naratif itu, silakan. Panggil lah saya kalis kecman atau apa, saya cuma nak buat kerja dan cari rezeki halal, jaga ibu selagi masih hidup.
“Tetapi janganlah kacau dan ganggu mental mereka hanya disebabkan kehidupan awak tak menarik. Kasihan kedua-dua belah pihak. Kita yang dah besar ini buat cara dah besar.
“Biarlah mereka uruskan hal tersebut sebab itu jugakah cara kita membesar kan? Dengan melakukan kesalahan dan belajar daripadanya,”katanya.
Terdahulu, nama pelakon baharu, Cupcake Aisyah tiba-tiba meledak dalam media sosial apabila didakwa ‘menyondol’ bekas teman lelaki Kasih Iris Leona.
Perkara itu mula diperkatakan selepas Leona memuat naik sebuah video dalam TikTok seakan-akan menggambarkan hatinya retak seribu setelah mendapat tahu kawan baik sendiri bercinta dengan bekas kekasihnya selepas hubungan mereka berakhir.
Leona turut mendedahkan situasi tersebut menyebabkan dirinya trauma untuk bercinta dan mempercayai teman rapat.