KUALA LUMPUR : Pelawak, Shuk Sahar, mengakui pernah berjenaka dengan penyanyi terkemuka tanah air, Anuar Zain sehingga menyebabkannya tersinggung dalam sebuah acara yang tidak dinamakan lokasinya.
Perkara itu didedahkan Shuk dalam satu sesi podcast Okletsgo.sg baru-baru ini di mana Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar berkata, dia tidak berniat untuk berjenaka sehingga Anuar terguris hati.
“Masa itu saya kena sedang kendalikan konsert (jadi pengacara majlis) dan waktu itu dalam sesi latihan.
“Saya ada cakap sesuatu yang sejujurnya saya tak ada niat nak mengata atau buatkan Anuar terguris hati. Nak dijadikan cerita, Anuar yang ada di atas pentas ketika itu terus turun dari pentas sebab terasa dengan gurauan saya,”katanya.
Menurut Shuk, dia kemudiannya segera bertemu dengan penyanyi lagu Sedetik Lebih itu untuk membuat permohonan maaf sebelum konsert berkenaan berlangsung.
“Lepas itu saya jumpa dengan pembantu peribadi Anuar dan tanya padanya, ‘Boleh tak saya nak jumpa dengan abang Anuar?’. Sebab konsert nak berjalan dah, tak akanlah saya nak bawa mood yang tidak baik ke atas pentas.
“Selepas itu, saya pun ketuk pintu dan masuk ke dalam bilik persalinanya. Waktu itu dia tengah buat rambut, terus dia tengok saya dan kata, ‘Kau buat lawak apa tadi? Ingat kelakar ke benda itu?’
“Saya jelaskan padanya yang saya tiada niat untuk cakap seperti itu dan minta maaf padanya kerana telah membuatkan diirnya berasa tersinggung,”katanya.
Bagaimanapun, kata Shuk, Anuar kemudiannya tidak memberikan sebarang respons dan menyuruhnya keluar daripada bilik berkenaan.
Pada masa yang sama, berikutan kejadian itu,kata Shuk, dia mengakui tidak dapat menahan air matanya dan menangis.
“Dia suruh saya keluar daripada bilik itu. Saya tahan air mata, keluar dan bila saya tutup ja pintu bilik itu, saya terus menangis,”katanya.