PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon, Ain Edruce mengakui trauma apabila anaknya, Soraya, 4, terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami sawan gara-gara demam yang terlampau panas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ain berkata, dia terpaksa meninggalkan set program hiburan, Melodi selepas menangis teruk sehingga tidak mampu meneruskan kerja selepas mendapat tahu keadaan Soraya.
“Mula-mula pembantu saya maklumkan, suami bagitahu Soraya cuma dibawa ke hospital. Tetapi jiwa mak-mak kan, saya terus telefon semula dan dimaklumkan Soraya mengalami sawan.
“Saya terus tak boleh buat kerja, asyik fikir anak. Menangis teruk sampai kru produksi Melodi meminta saya terus ke hospital untuk menguruskan Soraya. Sepanjang jalan, saya menangis fikir kecuaian diri.
“Sepatutnya pagi semalam saya sudah bawa dia ke hospital tetapi ketika itu kami fikir, demamnya boleh kebah bila diberi ubat dan dipantau sepanjang malam. Tetapi lain pula jadinya,” ujar Ain.
Dalam pada itu, Ain menambah, dia mengambil masa rehat sebentar daripada sebarang aktiviti seni buat masa ini untuk memberi fokus kepada Soraya yang ketika ini berada di bawah pemantauan doktor.
“Memang saya perlu rehat sekejap untuk jaga Soraya. Trauma bila jadi macam ini. Nasib baik suami ada di rumah, saya fikir kalaulah kami berdua tiada di rumah, apa akan jadi kepada Soraya.
“Sebelum ini kalau dia demam, memang kami terus bawa ke hospital. Tetapi kali ini, mungkin kecuaian kami sehingga dia mengalami sawan. Selepas ini, kami akan berjaga-jaga dan tidak cuai lagi,” katanya.
Berkongsi keadaan Soraya ketika ini, pelakon drama bersiri Jenaka Kampung Kalut (JKK) itu berkata, anaknya sudah kembali aktif dan demam juga sudah mula kebah namun masih tidak dibenarkan untuk pulang.
“Doktor ada memaklumkan, kalau selepas ini dia mengalami demam panas, perlu bawa ke hospital segera sebab dia pernah diserang sawan. Jadi kemungkinan untuk diserang semula itu tinggi,” kongsinya.
Untuk info, Ain mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan, Amirul Hafiz pada 13 Disember 2019 dan dikurniakan cahaya mata pertama pada 19 Mei 2021.- UTUSAN