Rezeki selepas ASGV makin lebat - Azharina - Utusan Malaysia

Rezeki selepas ASGV makin lebat – Azharina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Azharina, mengakui, selepas menyertai program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) tahun lalu, rezekinya untuk membuat persembahan dan undangan nyanyian semakin banyak.

Menurut Azharina, ia sekali gus menunjukkan dia masih diberi kepercayaan untuk menyanyi terutama dalam membawakan lagu-lagu berirama klasik untuk acara-acara tertutup dan sebagainya.

“Alhamdulillah, semua rezeki yang tidak putus-putus ini Allah yang beri. Sebelum ASGV bermula, saya terpaksa menolak banyak tawaran sebab mahu memberi fokus kepada pertandingan tersebut.

“Namun, ada sesetengah acara, saya tidak boleh tolak kerana sudah di ‘lock‘ lebih awal.Apa yang membuat saya teruja lagi, kebanyakan show yang saya pergi semua minta saya menyanyi lagu irama klasik.

“Mereka kata, saya boleh membawakan lagu klasik dan semua lagu lain dengan baik. Paling penting, gaya dan suara saya tak sama macam penyanyi asal. Mereka suka tengok saya buat persembahan di ASGV,”katanya.

Selain itu, kata Azharina, dia juga berbangga kerana diundang untuk membuat persembahan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-76 Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Tuanku Munawir di Istana Seri Menanti baru-baru ini.

“Saya diminta untuk menyanyi lagu ‘Sapu Tangan’ di depan Tuanku. Saya rasa sangat berbesar hati, dapat undangan tersebut.

“Hari yang sama juga, saya terima undangan untuk menyanyi di Malacca Music Hall. Ketua Menteri Melaka jemput saya untuk menyanyi enam buah lagu di sana,”katanya.

Sementara itu, Azharina mengakui bahawa bukan semua penyanyi berpeluang sepertinya untuk melakukan persembahan di dalam istana justeru ia dianggap sebagai satu pengalaman berharga buat dirinya.

Malah, katanya, disebabkan itu dia sentiasa melakukan persiapan yang bersungguh-sungguh setiap kali menerima jemputan tersebut.

“Saya sudah menyanyi di istana sejak berusia 17 tahun. Saya sejenis buat kerja dan melakukan persiapan bersungguh-sungguh. Kalau orang yang kenal saya, mereka tahu macam mana saya bekerja.

“Tak kisah lagu apa sekalipun, saya akan berlatih dan Insya-Allah akan memberikan yang terbaik. Saya percaya, ramai orang menghargai dan nampak bakat saya. Bahkan, ada yang masih kecewa apabila berfikir mengenai nasib saya ketika bertanding di ASGV.

“Bagi saya program tersebut hanya tempoh beberapa bulan sahaja, tetapi perjalanan saya yang sebenar adalah sekarang. Sebab itu saya bersyukur masyarakat dan peminat nampak. Mereka tidak buta untuk menilai setiap apa yang saya buat,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN