KUALA LUMPUR : Tidak berdiam diri, pelakon dan selebriti sensasi, Puteri Sarah Liyana, mengambil jalan undang-undang bagi menegakkan keadilan berhubung tuduhan penipuan dalam satu urusan perniagaan dengan seorang pegawai pemasaran.
Menurut pelakon berusia 39 tahun ini, wanita yang membuat tuduhan tersebut telah menyebarkan satu fitnah dan segala tuduhan itu disifatkan tidak berasas.
“Memfitnah, menyebarkan fitnah. Menuduh tanpa bukti. Selepas ini nak menghina dan memfitnah sila pastikan berserta bukti. Bukan jadi tin kosong,”tegas Sarah dalam satu kenyataan di Instagram hari ini.
Selain itu, dalam satu hantaran di Instagram Story, Sarah juga menyebut bahawa dia tidak sesuka hati mencari publisiti.
“Kita tak cari publisiti, kita guna saluran yang betul,”katanya.
Pada masa yang sama, Sarah turut memuat naik sekeping gambar bersama peguam yang mewakili dirinya, Azmi Mohd Rais.
Terdahulu, seorang wanita mendakwa sebagai pegawai pemasaran tampil dalam program Melodi pada Ahad lalu mendakwa dia sebenarnya yang menjadi mangsa di sebalik semua dakwaan aktres itu terhadapnya.
Dakwa wanita itu, kenyataan dibuat Puteri Sarah sebelum ini berhubung kes pecah amanah adalah tidak benar dan fitnah.
Sebelum ini, Puteri Sarah menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok mendedahkan seorang individu membawa lari wang berjumlah RM26,000 sebagai gaji tanpa melaluinya terlebih dahulu.