CALIFORNIA : Filem biografi epik, Oppenheimer meraih tuah apabila menang besar dalam acara Golden Globes Awards ke-81 dengan menyapu bersih hampir keseluruhan trofi pencalonan termasuk Filem Terbaik.
Selain Filem Terbaik, Oppenheimer turut menyaksikan pengarahnya, Christopher Nolan berjaya memenangi trofi Pengarah Terbaik dan Pelakon Filem Lelaki Terbaik (Cillian Murphy) serta Pelakon Pembantu Filem Lelaki Terbaik (Robert Downey Jr.)
Selain itu, filem pecah panggung tahun lalu itu turut menerima trofi Skor Asal Terbaik kategori filem.
Sementara itu, filem komedi, Poor Things membawa pulang trofi Filem Muzikal/Komedi Terbaik manakala Pelakon Filem Wanita (muzikal/komedi) Terbaik dimenangi Emma Stone menerusi lakonannya sebagai Bella Baxter dan Victoria Blessington dalam filem tersebut.
Kemenangan Poor Things sekali gus mengenepikan filem Barbie yang merupakan filem paling laris dunia tahun lalu.
Filem Barbie bagaimanapun tidak pulang dengan tangan kosong apabila menerima trofi yang baru diperkenalkan tahun ini iaitu Pencapaian Pecah Panggung dan sinematik.
Bagi kategori drama pula didominasi karya Succession yang membawa pulang empat trofi termasuk Drama Terbaik, Pelakon Drama Wanita Terbaik (Sarah Snook), Pelakon Drama Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Drama Terbaik (Matthew Macfadyen).
Sementara itu, pelakon yang membawakan watak mendiang Diana dalam musim terakhir drama The Crown iaitu Elizabeth Debicki dinobatkan sebagai pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Dalam pada itu, penyanyi Billie Eilish berjaya meraih trofi Lagu Asal Terbaik sekali gus menundukkan empat pesaing lain termasuk I’m Just Ken, Dance The Night, Peaches, Addicted To Romance dan Road to Freedoom menerusi lagu ciptaannya, What Was I Made For?
Golden Globe Awards ke-81 telah berlangsung di The Beverly Hilton, California, Amerika Syarikat dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran CBS.










