KUALA LUMPUR : Penyanyi, Syamel mengakui terbuka jika puteri sulungnya, Nur Khawla Soleha, menunjukkan minat untuk mengikut jejak langkahnya dan isteri, Ernie Zakri, dalam bidang seni apabila dewasa kelak.
Kata Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, pada waktu ini, Khawla sememangnya ada menunjukkan kecenderungan ke arah itu terutama menyanyi dan menari namun itu belum satu jaminan bahawa minatnya itu akan kekal lama.
“Bila di rumah, adalah nampak Khawla ini suka menari, suka menyanyi dan macam cenderung ke arah seni itu.
“Tapi, saya tak naklah seakan memaksa anak untuk suka dan meminati kerjaya saya dan Ernie ini.
“Cuma adalah saya belikan permainan seperti piano dan mikrofon untuk memupuk minat itu dalam diri dia. Duia masih kecil lagi, kita masih boleh pantau dan lihat ke mana minatnya selepas ini,”katanya.
Syamel berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media program Wacana Srikandi sempena Hari Wanita Sedunia yang diadakan di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai tawaran lain diberikan kepada Khawla, penyanyi berusia 30 tahun ini mendedahkan anaknya itu sudah pun mula dirisik beberapa agensi.
Bagaimanapun, kata Syamel, dia dan Ernie akan cuba sedaya upaya untuk mengehadkan pembabitan itu dalam diri Khawla kerana enggan seakan memaksa anak mereka ‘bekerja’ dari kecil.
“Sebenarnya ada saja tawaran yang diberikan dan tak lama lagi Khawla pun akan mula untuk berikan komitmen.
“Setakat ini pun kami tak adalah ambil job yang terlalu banyak untuk Khawla. Kalau ambil pun hanya sekadar untuk selitkan penampilan dia dalam muzik video macam itu sahaja.
“Namun, saya dan Ernie cuba hadkan perkara ini supaya taknak Khawla rasa yang dia itu sudah mula bekerja. Kita tak mahu emosi serta minda dia yang masih kecil terganggu.
“Tapi kalau tanya okay atau tidak, saya dan Ernie sangat terbuka Khawla diberikan pendedahan selagi mana perkara itu tidak memenatkan diri dia,”katanya.
Sementara itu, penyanyi lagu Bahagia Milik Kita ini menegaskan akan tetap meletakkan asas pendidikan sebagai keutamaan dalam diri Khawla.
“Sebesar dan seluas mana pun pendedahan yang saya dan Ernie berikan kepada Khawla, kami tetap akan pastikan anak kami ini seimbang dari segi pendidikannya.
“Kami masih percaya yang pendidikan itu sangatlah penting dan yang menggerakkan anak-anak itu adalah ibu bapa itu sendiri,”katanya.
Untuk info, Syamel dan Ernie selamat mendirikan rumah tangga mereka pada Mac 2021 lalu dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan Khawla yang bakal mencapai usia dua tahun pada Februari 2024 nanti.