SHAH ALAM: Bekas penyampai radio KLFM, Datuk Syaiful Bahrim atau DJ Pool menegaskan setiap pengurusan stesen radio tempatan supaya lebih telus dan berhemah dalam soal kontrak seseorang penyampai radio yang dilantik.
Malah, kata DJ Pool, dia juga tidak melihat tindakan memberhentikan penyampai radio secara mengejut atau tiba-tiba sesuai dijadikan amalan berterusan hanya kerana mereka tergolong dalam kategori pekerja kontrak.
Baginya, setiap penyampai tidak sepatutnya menerima nasib seperti itu memandangkan mereka sudah menyumbang khidmat sepenuh jiwa selain mempunyai keluarga untuk disara.
“Isu tamat kontrak ini biasa berlaku di mana-mana stesen radio. Tapi, saya hendak ingatkan kepada setiap stesen termasuk dibawah kerajaan supaya majikan dapat santuni setiap penyampai walaupun hanya berstatus kontrak.
“Pengalaman saya sebagai penyampai, sewaktu berkhidmat dahulu jiwa kami memang sepenuhnya untuk stesen. Komitmen pemyampai berstatus kontrak ini kadang-kadang lebih tinggi.
“Kalau boleh jangan berhentikan secara mengejut sebab mereka ada keluarga dan kehidupan peribadi. Apabila terjadi pemberhentian secara mengejut, mereka akan rasa seperti dizalimi,” katanya.
DJ Pool berkata demikian semasa ditemui pada majlis pelancaran program Kembara Showcase Amal Madani Jiwa Malaysia di Mardhiyyah Hotel & Suites, di sini, kelmarin.
Selain itu, DJ Pool berkata, pengurusan di setiap stesen radio perlu menghargai sumbangan yang sudah diberikan setiap penyampai yang berkhidmat.
“Setiap penyampai ada sumbangannya, malah mungkin sudah membantu menaikkan rating. Tak akan tak ada sedikit belas ihsan atau hormat kepada penyampai.
“Saya tidak menyebelahi sesiapa dan saya tidak bercerita mengenai sikap atau sebagainya. Pengurusan perlu lebih peka mengenai aspek kemanusiaan. Tetapi jangan tak percaya, adakala ada penyampai radio kontrak yang lebih ada jiwa berbanding pekerja tetap,”katanya.
Mengulas mengenai risiko yang perlu dihadapi penyampai radio berstatus kontrak, DJ Pool mengakui tiada jaminan untuk dapat terus bekerja kerana mereka hanya mengisi slot ketika ketiadaan penyampai tetap.
“Sebenarnya bila kontrak kita kena semua tahu tak ada jaminan seperti penyampai tetap sekalipun di stesen kerajaan. Mereka gunakan pekerja kontrak untuk menampung keperluan penyampai di sesebuah stesen radio itu.
“Bila penyampai tetap tidak dapat bersiaran, jadi yang kontrak ini akan berperanan menampung kekosongan itu. Ini juga yang terjadi dulu sebab kami berperanan utk menampung slot. Semasa di KLFM dulu, penyampai kontrak lebih ramai daripada yang tetap.
DJ Pool bergelar penyampai di KLFM selama 13 tahun bermula dari 2000 hingga 2013. Bapa kepada empat cahaya mata itu kemudian berhijrah ke TV9 dan terbabit dalam program hiburan, Galaksi bermula 2013 hingga 2016.
DJ Pool juga pernah meraih trofi Penyampai Radio Versatil, Anugerah Seri Angkasa (ASA) pada 2005.
Dalam perkembangan lain, DJ Pool menganjurkan program Kembara Showcase Amal Madani Jiwa Malaysia yang bertujuan mengutip dana bagi membantu insan kurang bernasib baik.