PETALING JAYA: Bagi memberi penghargaan kepada pengamal media di Gaza, khasnya buat Motaz Azaiza, bekas senator, Datuk Ras Adiba Radzi, 55, mengabadikan perjuangan lelaki tersebut menerusi penghasilan sebuah klip video.
Walaupun Lagu Sky Will Open Fire telah dicipta 10 tahun lalu bersama rakan-rakan, Ras Adiba bagaimanapun percaya, mesej yang dimuatkan dalam lagu itu disifatkan sangat penting untuk dikongsikan dalam situasi peperangan hari ini.
“Saya sudah lama merakam lagu ini semasa di Frankfurt, German, bersama sahabat-sahabat di sana. Namun lagu ini seperti bersesuaian dengan keadaan semasa. Jadi kami ambil keputusan untuk buat klip video ringkas sebagai penghargaan buat sahabat media di Palestin iaitu Motaz Azaiza.
“Kami menggunakan gambar-gambar beliau secara hitam putih untuk diselitkan dalam video klip lagu ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Ras Adiba, wartawan foto Palestin, Azaiza yang baru dinobatkan sebagai Man of the Year majalah GQ itu banyak memberi inspirasi terutama kepada pengamal media untuk membongkar kekejaman yang dilakukan Israel.
“Azaiza bukanlah bertugas di mana-mana syarikat atau agensi media. Dia adalah jurugambar yang suka berkongsi foto di media sosial.
“Sikapnya yang tidak memikirkan dirinya semata-mata telah menjadi mata dan telinga kita semua untuk mendalami situasi yang berlaku di Palestin. .
“Pada saya, Motaz ialah individu yang sangat berani dan melambangkan semangat sebenar kita sebagai wakil media,” katanya.
Bukan itu sahaja, Ras Adiba turut berasa sedih terhadap nasib 61 wartawan yang telah dibunuh oleh Israel semasa membuat liputan.
“Sudah lebih 40 rakan media yang syahid kerana melaporkan kebenaran di Palestin. Mereka mengingatkan kita tentang amanah yang diberikan sebagai wakil media untuk melaporkan kebenaran.
“Motaz adalah kita (pengamal media) dan kita tidak boleh melupakan mereka,” katanya.