LOS ANGELES : Pelakon yang berjaya mengukir nama sebagai bintang cilik di Hollywood, Macaulay Culkin, 43, berbangga apabila namanya dinobat sebagai selebriti ke 2675 yang menerima penghargaan Walk of Fame di Amerika Syarikat (AS).
Macaulay yang popular menerusi filem berjudul Home Alone di era 90-an menerima penghargaan bintang tersebut sempena sumbangannya sebagai anak seni sepanjang 30 tahun ini.
Turut hadir memberi sokongan kepadanya ialah Brenda Song, dua anak lelaki mereka, Dakota dan Carson serta aktres senior, Catherine O’Hara yang pernah memegang watak sebagai ibunya dalam filem Home Alone.
Culkin merupakan seorang daripada pelakon cilik paling berjaya sepanjang zaman, namun bintang berusia 43 tahun itu pernah melalui fasa kejatuhan dalam dunia hiburan.
Culkin pernah terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah, namun mula meninggalkan tabiat buruknya selepas mengenali Brenda.
Berkongsi mengenai momen manis bersama Macaulay, Catherine dalam ucapannya berkata, pelakon lelaki tersebut merupakan tulang belakang kepada filem popular tersebut yang ketika itu menyaksikan Macaulay berjaya memberi impak besar menerusi watak kanak-kanak bijak berusia 8 tahun bernama Kevin McCallister.
“Home Alone akan sentiasa menjadi sebuah karya yang diminati ramai secara global. Ia juga sebuah filem yang berupaya membuatkan rata-rata keluarga berkumpul, menonton dan bergelak ketawa bersama-sama, dan semua itu kerana Macaulay Culkin.
“Macaulay telah meninggalkan kesan mendalam buat semua peminat filem tersebut dan saya tahu, awak telah bekerja keras selama ini. Awak membuatkan lakonan ini sangat semula jadi dan itu adalah kelebihan awak.
“Macaulay selayaknya menerima bintang Walk of Fame. Terima kasih kerana ingat saya, ibu palsu awak yang telah meninggalkan awak di rumah bersendirian, bukan sekali, tetapi dua kali dalam filem tersebut. Sesungguhnya saya amat berbangga dengan awak,”katanya.
Ucapan Catherine itu kemudiannya telah membuatkan Macaulay mengalirkan air mata tanda terharu sebelum kedua-duanya saling berpelukan.
Untuk info, Culkin memulakan kerjaya sebagai pelakon teater pada usia empat tahun, sebelum menjadi terkenal menerusi watak Kevin McCallister dalam Home Alone, yang turut membolehkannya menerima pencalonan Golden Globe.
Selain Home Alone dan Home Alone 2: Lost in New York, Culkin juga membintangi filem My Girl, Uncle Buck, The Nutcracker, Getting Even With Dad dan The Pagemaster dan Richie Rich.