KUALA LUMPUR : Pelakon Hollywood, Penelope Cruz meneroka satu lagi cabang kerjaya apabila memilih untuk menjalin kerjasama dengan kakaknya, Monica Cruz bagi menghasilkan rekaan fesyen menarik sejajar dengan kolaborasi mereka dengan jenama antarabangsa, Geox.
Turut dilantik sebagai duta jenama tersebut, kata Penelope, dia dan Monica telah bersama-sama mencipta satu koleksi kapsul fesyen yang menawan dan kesemua rekaan itu dijadual berada di pasaran pada musim bunga/panas 2024.
Kata Penelope, koleksi eksklusif itu telah direka bagi memenuhi keperluan wanita moden yang mendambakan gabungan praktikal dan imaginasi selain menggabungkan keanggunan dengan keselesaan bersama.
“Lebih dari dua dekad, saya dan Monica telah menceburi pelbagai kolaborasi dalam dunia fesyen. Minat kami pada fesyen dan kegembiraan bekerja bersama telah mendorong kami untuk memulakan kerjasama ini sekali lagi.
“Untuk projek ini, kami mendapat inspirasi daripada falsafah jenama Geox yang memerlukan bahan dan teknologi yang terbaik sambil mengekalkan aura yang bergaya,” katanya.
Penelope bakal menghiasi kempen pengiklanan global untuk jenama berkenaan menerusi dua fasa iaitu musim luruh/sejuk bagi sesi 2023/2024 dan musim bunga/panas 2024.
Sementara itu, menurut pengasas dan pengerusi Geox, Mario Moretti Polegato, pemilihan Penelope disifatkan sebagai ideal dalam menyampaikan falsafah utama jenama berkenaan.
“Tentunya kami sangat teruja kerana Penelope menjadi duta kami yang pertama. Kami juga yakin Penelope dapat membawa jenama ini ke persada antarabangsa kerana dirinya mempunyai evolusi stail yang mengaburkan kecantikan, kesejahteraan dan keselesaan.
“Kerjasama strategik bersama Penelope dilihat sangat bersesuaian dengan imej aktres terkemuka itu yang memiliki kualiti seperti profesionalisme, kesederhanaan, kekuatan, keanggunan dan kejelitaan yang bertepatan dengan nilai,semangat dan aspirasi jenama kami,”katanya.
Antara koleksi yanhg dihasillkan oleh Penelope bersama kakanya itu termasuk jaket trench kalis air yang diperbuat daripada bahan kitar semula dan fabrik yang mampan.
Dengan kerjasama antara Penélope, Mónica dan Geox, koleksi kapsul ini mampu meningkatkan keyakinan diri, memberi peluang kepada semua wanita.
Koleksi GEOX by Penélope dan Mónica Cruz boleh didapati di semua butik Geox utama seluruh dunia dan dalam talian melalui GEOX.COM mulai Februari 2024.