Saya sentiasa sayangkan Matthew walaupun kini dia telah tiada - Jennifer Aniston - Utusan Malaysia

Saya sentiasa sayangkan Matthew walaupun kini dia telah tiada – Jennifer Aniston

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon Hollywood, Jennifer Aniston, mendedahkan, baru kini mempunyai kekuatan untuk menulis ucapan terakhir bagi menghargai dan mengenang mendiang sahabatnya, Matthew Perry, setelah sebulan aktor tersebut meninggal dunia.

Menurut Jennifer dalam satu hantaran di Instagram, ini kerana pemergian Matthew meninggalkan luka dan kedukaan yang terlalu dalam memandangkan dia dan aktor tersebut sama-sama sinonim dengan drama popular era 90-an, Friends.

“Pemergiannya bagaikan luka yang teramat dalam. Mengucapkan selamat jalan kepada Matty adalah satu gelombang emosi yang tak pernah saya terfikirkan sebelum ini.

“Kami semua sangat menyayanginya. Dia sudah kami anggap sebahagian daripada keluarga dan kami (pelakon siri Friends) sentiasa berenam,”katanya.

Menerusi hantaran yang sama, aktres ini turut berkongsi tangkapan skrin teks perbualannya bersama Matthew yang diakui sentiasa disimpan oleh Jennifer di dalam telefonnya.

“Membuat awak ketawa sememangnya menjadi hari indah buat saya,”tulis Matthew menerusi paparan skrin tersebut.

Mengakhiri tulisan tersebut, Jennifer turut meluahkan bahawa dia sentiasa menyayangi sahabatnya itu meskipun aktor itu kini sudah tiada.

Matthew, 54, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya pada 28 Oktober di Pacific Palisades Los Angeles (LA), dipercayai akibat lemas selepas ditemukan dalam jakuzi di kediamannya itu.

Memetik laporan portal hiburan antarabangsa, tiada bahan terlarang ditemukan di lokasi tersebut atau sebarang perkara yang mencurigakan sebelum Perry menghembuskan nafas terakhirnya.

Menurut jurucakap Polis Los Angeles, pihaknya menerima panggilan telefon mengenai kematian seorang lelaki berusia 50-an, namun identiti mangsa tidak dimaklumkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN