SHAH ALAM : Penyanyi, Aliff Aziz, 32, mengakui kurang gemar menggunakan masalah kesihatan sebagai alasan sekiranya dilihat gagal memberikan persembahan terbaik dalam sesebuah pertandingan nyanyian.
Menurut Aliff, hal itu juga merujuk kepada penyingkirannya pada minggu suku akhir All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini,semalam.
Mengakui kini sedang mengalami radang pada bahagian tekak, Aliff berpendapat penyingkirannya di pentas ASGV berpunca daripada kurangnya usaha memberikan yang terbaik pada minggu lalu.
“Sebenarnya sudah dua minggu saya bergantung dengan antibiotik dan steroid untuk kurangkan keradangan pada bahagian tekak.
“Doktor sahkan saya mengalami Rhinosinusitis iaitu lendir yang beri kesan kepada peti suara sehingga cetuskan keradangan.
“Kemudian doktor beri ubat steroid yang kesan sampingannya ialah membuatkan tekak rasa kering, batuk dan sebagainya,” katanya ketika ditemui usai program tersebut berlangsung.
Berkongsi lanjut, kata penyanyi kelahiran Singapura ini, keadaan kesihatannya bertambah teruk dalam tempoh dua minggu ini sehingga menjejaskan kualiti vokalnya.
“Saya sudah berjumpa dengan pakar perubatan sejak tiga minggu lalu tetapi kesakitan ini bertambah buruk sejak dua minggu ini namun minggu ini paling teruk.
“Saya jelaskan hal ini sebab tak mahu orang lain cakap saya guna alasan sakit untuk penyingkiran ini. Saya sendiri pun kurang gemar gunakannya sebagai satu alasan. Saya katakan ini pada diri sendiri, bukan orang lain,” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada dia kecewa gagal melangkah ke separuh akhir ASGV, suami pelakon, Bella Astillah ini mengakui reda dengan keputusan tersebut.
“Saya terima keputusan ini dengan hati terbuka dan tidak akan sesekali menggunakan alasan isu kesihatan punca persembahan kurang memuaskan.
“Tidak ada peserta yang nak buat silap dalam persembahan mereka pun, setiap orang mempunyai sasaran untuk ke pentas final begitu juga saya.
“Apapun, saya percaya penyingkiran ini mempunyai hikmah dan sentiasa yakin dengan rezeki Allah SWT,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, dia juga akan mengambil tempoh berehat selepas berjuang selama 10 minggu di pentas ASGV.
“Selepas ini akan habiskan masa dengan keluarga, bertemu dengan ibu bapa saya yang baru pulang dari menunaikan ibadah umrah.
“Berada sehingga ke suku akhir pun sudah cukup bagus sebab pentas ASGV adalah pertandingan yang paling besar pernah saya sertai,”katanya.