SHAH ALAM : Peserta program All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Siti Nordiana, mengakui sukar membuang gaya nyanyian tersendiri sekali gus menyaksikan dia dilihat sentiasa kekal berada dalam zon selesa.
Menurut penyanyi yang mesra disapa sebagai Nana ini, dia gembira mengekalkan identiti sendiri namun mengakui sekiranya diminta untuk membawakan ‘watak’ lain dalam lagu yang berbeza, penambahbaikan perlu dilakukan.
“Saya gembira menjadi diri sendiri dan menerusi lagu Baby One More time nyanyian asal Britney Spears itu, saya bangga berjaya paksa diri untuk melakukan sesuatu yang berbeza.
“Bagaimanapun saya akui apa yang Datuk Syafinaz tegur itu ada betulnya. Saya ini macam susah nak buang ton suara ‘Siti Nordiana’ itu daripada diri.
“Tak tahu macam mana sebab jati diri saya terlalu kuat. Betul lah saya kena ubah untuk bawa ‘watak’ lain dalam lagu berbeza,”katanya.
Nana berkata demikian semasa ditemui usai program ASGV yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam.
Terdahulu, Nana dikritik Syafinaz menerusi persembahannya di pentas pertandingan tersebut yang menyaksikannya membawakan lagu nyanyian asal penyanyi pop popular antarabangsa tersebut.
Mengulas mengenai persembahannya, kata Nana, dia bimbang tidak dapat membawakan lagu bahasa Inggeris dengan baik dan berikutan itu telah membuat latihan padat sepanjang seminggu tempoh diberikan.
“Lagu itu memang saya biasa dengar, tapi tak pernah bawakan di mana-mana ‘show’. Jadi bila diberi tugasan itu, saya tak nafikan memang agak mencabar, seminggu saya dengar lagu itu berulang-ulang untuk berlatih.
“Saya sampai tanya dengan anak saya untuk periksa sebutan bahasa Inggeris dengan betul. Sebenarnya, saya sangat takut dengan Syafinaz sebab dia seorang juri yang sangat teliti.
“Terutama dari segi sebutan, Syafinaz sangat menitik beratkan aspek itu. Sebab itu saya banyak kali berlatih dengar lagu itu. Tapi bila dia kata okey, Alhamdulillah. Bermakna dia sukalah dengan peningkatan saya,”katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai tugasannnya membawakan lagu Teringin nyanyian asal Shima pada minggu hadapan, Nana mengakui teruja untuk berduet dengan Amelina.
Katanya, Amelina merupakan penyanyi yang mempunyai ton suara yang lebih kurang sama dengannya dan diyakini bakal menyuntik satu persembahan yang seimbang sebagai pasangan duet.