KUALA LUMPUR : Diterima masuk ke sebuah institut pengajian lakonan berprestij di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), pelakon, Jasmine Suraya, menyifatkan ia sebagai sebuah hadiah paling bermakna sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-34.
Menurut Jasmine, khabar gembira itu sekali gus menyebabkan dia perlu membuat keputusan berat untuk berehat seketika daripada dunia seni lakonan di sini bagi membolehkan dia mengejar cita-cita.
“Sebenarnya saya terkejut sangat apabila berjaya diterima masuk ke Institut Filem dan Teater Lee Strasberg di LA. Saya akan ‘terbang’ ke sana pada bulan depan dan setahun akan berada di sana bagi melangsaikan tempoh pengajian.
“Boleh dikatakan, ini adalah satu keputusan besar yang saya ambil dalam hidup. Terpaksa tinggalkan cinta, kerjaya, keluarga yang saya sayangi di sini.
“Tetapi mengenangkan ini satu peluang keemasan, saya tak nak lepaskan sebab kita pun tak tahu bila lagi peluang besar seperti ini datang dalma hidup,”katanya.
Jasmine berkata demikian semasa ditemui pada majlis sambutan hari lahirnya bersama media dan pengurusan Mask Team di ibu negara, hari ini.
Selain itu, kata Jasmine, dia juga berbangga kerana menerusi penyertaannya sebagai pelajar di institut tersebut, turut menyaksikannya mampu berada sebaris dengan beberapa artis antarabangsa.
Ia termasuk Angelina Jolie, Chris Evans, Scarlett Johansson dan Lady Gaga yang merupakan alumni institut berkenaan.
“Difahamkan, saya juga merupakan pelakon Malaysia dan satu-satunya artis Asia pertama bagi pengambilan kali ini.
“Berada sebaris dengan alumni bernama besar dalam industri seni hiburan Hollywood, tentunya membuatkan saya rasa bangga selain berpeluang menimba ilmu di sebuah institut terkemuka di dunia dalam bidang teknik lakonan,”katanya.
Dalam pada itu, menurut Jasmine, satu kebimbangannya adalah mengenai tanggungan keseluruhan kos pengajian yang dianggarkan berjumlah RM300,000.
Berikutan itu, pelakon filem Daulat dan Paskal ini mengakui menaruh harapan besar agar hasratnya untuk menyambung pengajian mendapat sokongan daripada pihak kerajaan khususnya dalam bentuk biasiswa.
Setakat ini, kata Jasmine, antara usaha yang telah dilakukannya adalah dengan menghantar surat permohonan kepada beberapa agensi kerajaan termasuk badan kerajaan Sarawak.
“Sebagai anak jati Sarawak, saya juga telah menghantar surat permohonan untuk mendapatkan dana sokongan daripada badan kerajaan di sana. Selain itu, saya juga ada mencuba nasib dan mohon dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
“Setakat ini saya masih menunggu keputusan mereka. Namun, saya benar-benar berharap agar hasrat saya ini mendapat sokongan penuh daripada pihak kerajaan. Saya percaya, bidang seni ini walaupun ada pihak anggap tidak begitu penting, tetapi bidang seni juga mampu membawa keuntungan kepada sektor ekonomi negara.
“Saya percaya, orang kita juga banyak yang berbakat. Berilah peluang kepada kami anak-anak seni ini untuk raih ilmu yang terbaik dan kemudiannya dapat kembali berbakti kepada industri perfileman negara,”katanya.