Jangan risau jika terpilih sertai PLKN, seronok tahu! - Ernie Zakri - Utusan Malaysia

Jangan risau jika terpilih sertai PLKN, seronok tahu! – Ernie Zakri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Ernie Zakri, menasihatkan agar mana-mana individu yang terpilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) supaya tidak perlu berasa bimbang atau takut kerana ia antara platform terbaik untuk membentuk jati diri, ketahanan mental dan fizikal seseorang.

Malah, bercakap menerusi pengalaman sendiri, kata Ernie, PLKN juga secara amnya telah banyak membentuk dirinya menjadi insan lebih kuat mental dan emosi ketika remaja.

“Sejujurnya, saya adalah selembik-lembik manusia yang tidak suka berjemur di tengah panas, berkawad dan bangun pagi untuk bersenam.

“Semua itu sangat sukar buat saya yang tidak gemar dan terbiasa dengan aktiviti sedemikian.

“Namun, tidak dinafikan banyak kenangan manis diperolehi sepanjang latihan. Saya berpendapat adik-adik berusia 16 tahun dan ke atas wajar ikuti program ini. Jangan risau, PLKN ini sebenarnya seronok tahu!” katanya.

Ernie berkata demikian semasa ditemui pada sidang media pelancaran album Aura di ibu negara, baru-baru ini.

Selain itu, Ernie berkata, PLKN mendedahkan peserta dengan ilmu survival dan kemahiran berdepan cabaran dalam kehidupan.

Mengulas lanjut mengenai kenangan manis yang tidak boleh dilupakan sewaktu menyertai PLKN, penyanyi lagu Korban yang ditempatkan di Kem Behrang, Perak ini mengakui sempat mencipta pengalaman cinta monyet.

“Masa di PLKN, saya sempat jumpa ‘boyfriend’ di situ. Tetapi jodoh tak panjang, habis PLKN kami putus.

“Di sana macam-macam aktiviti kita lakukan seperti memanah dan menembak. Tetapi, tidaklah sampai mencederakan. Mereka kawal kita dengan rapi dan dijaga baik. Jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan.

“Saya percaya peserta yang akan terpilih mengikuti PLKN 3.0 nanti akan berasa gembira selepas mengikuti program berkenaan,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial apabila ada pihak membuat ciapan dengan mendakwa peserta yang akan dipilih menyertai PLKN untuk fasa baharu terdiri daripada mereka berusia 16 hingga 35 tahun.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) menjelaskan hanya remaja yang lahir pada 2007 akan dipanggil menjalani PLKN 3.0 apabila ia dilaksanakan pada tahun hadapan.

Mindef turut berharap penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN 3.0.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya