DUA program realiti ketika ini, All Star Gegar Vaganza dan Famili Duo 3 sedang bersaing sengit. Mungkin ketika ini juga, pihak produksi sedang pecah kepala memikirkan bagaimana untuk terus memancing rating.
Yelah, keberjayaan sesebuah program itu mungkin bergantung kepada rating semata. Maka tidak hairan, baik ASGV dan FD3 pun sibuk canang rating masing-masing. Berlawanlah kalian tentang nombor ya.
Cuma sehingga sekarang, Poklip sendiri tidak nampak magisnya ASGV seperti musim-muism terdahulu. Entah di mana silapnya, program yang dikhabarkan nombor satu itu seperti semakin larut dalam kebosanan.
Tetapi bukan Poklip seorang sahaja yang merasai kebosanan itu, ramai juga rakan media yang mula mengadu perkara sama. Malah, di media sosial juga segelintir warganet menyuarakan hal serupa.
Persoalannya, sudah masuk minggu kelapan, seri apa yang hilang dalam ASGV? Entah mengapa, percaturan mereka kali ini agak rapuh. Pemilihan lagu, konsep dan mungkin juga peserta sendiri.
Ada yang berpendapat, kesemua peserta dalam ASGV sudah ada tempat dalam industri seni. Apatah lagi, ada antara mereka juga tidak perlu khuathir jika tersingkir. Deretan pelan konsert sudah diatur cantik.
Malah, ada beranggapan penglibatan mereka dalam ASGV juga sekadar ‘membalas jasa’ program yang menaikkan nama mereka semula. Maka, persembahan semuanya dikatakan hampir sama saban minggu.
Ditambah pula dengan pelbagai kritikan dan kecaman terhadap dua pengacara, Nabil Ahmad dan Jihan Muse. Pengacaraan mereka juga dikatakan semakin mengarut dan tidak ada menariknya.
Tetapi bukan semua mengkritik ASGV. Ada yang masih setia dan menganggap program tersebut tetap nombor satu. Lihat sahaja rating saban minggu, tetap ada peminat yang menyokong.
Beralih kepada FD3 pula, Poklip yang menontonnya juga tertanya-tanya, adakah rancangan realiti itu sudah berubah konsepnya kepada program sketsa? Sudah jadi seperti program komedi muzikal pula.
Poklip tak tahulah kalau itu adalah objektif dan hala tuju baharu FD3. Mungkin mereka mahu menyuntik kelainan dan perbezaan kali ini. Tidak lagi memfokuskan kepada nyanyian dan persembahan semata.
Setiap peserta perlu tampil dengan idea sketsa, lawak jenaka dan hiburan. Mungkin itu juga yang dimahukan juri tetap, Ajai dan Mas Idayu. Kalau dibandingkan, memang berbeza dari musim terdahulu.
Maka terkucil sana sini tidak mengapa, asal sketsa menjadi. Jenaka didahulukan dan nyanyian sumbang mambang okey sahaja? Itu persoalan yang bermain di minda. Mahu mencari pengganti Senario kah?
Poklip tidak pasti apakah impak sebenar program-program realiti sekarang? Sekadar mencipta hiburan mingguan atau ada objektif membangunkan industri seni tempatan? Peninglah!