Dilabel bapa yang teruk, Brad Pitt pilih berdiam diri - Utusan Malaysia

Dilabel bapa yang teruk, Brad Pitt pilih berdiam diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon terkenal Hollywood, Brad Pitt, kecewa apabila dirinya dilabel sebagai seorang bapa yang teruk oleh anak angkat bekas isterinya, Angelina Jolie, Pax yang berusia 19 tahun.

Menurut sumber rapat aktor tersebut, sebagai bapa, Brad sememangnya terkesan dengan perbuatan Pax namun enggan memberi sebarang komen selain menyifatkan anaknya itu mungkin sedang melalui fasa tertekan.

“Brad sangat menghormati kesemua anak-anaknya namun tentulah dia berasa kecewa kerana perkara seperti ini dibangkitkan.

“Sangat mengecewakan bila dirinya dilabel sebagai seorang individu yang teruk sedangkan perkara itu tidak benar.

“Dia memilih untuk berdiam diri dan tidak memberi sebarang komen. Tindakan itu menjelaskan segalanya,” kata sumber.

Sementara itu, seorang lagi sumber memberitahu media antarabangsa bahawa tuduhan yang sengaja ditimbulkan oleh pihak media massa hanya akan menjejaskan keharmonian keluarga popular tersebut.

“Sangat menyedihkan apabila ada pihak sengaja menimbulkan isu daripada perkara yang telah lama berlalu hingga tidak memikirkan apa kesannya terhadap keluarga Jolie-Pitt,”katanya.

Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan Pax telah melabel Brad sebagai bapa yang teruk menerusi satu hantaran yang pernah dimuat naik oleh anak angkat pertama mereka itu di media sosial.

Tindakan itu dibuat Pax sempena sambutan Hari Bapa pada tahun 2020.

Antara yang disebut Pax adalah bagaimana empat adik-beradiknya yang lain sering berada dalam ketakutan apabila Brad ada bersama mereka.

“Selamat Hari Bapa buat seorang bapa yang teruk seperti awak. Dari masa ke semasa, awak telah membuktikan awak memang seorang yang teruk.

“Awak tidak ada pertimbangan atau empati terhadap empat anak kecil yang sering dibelenggu rasa takut setiap kali awak ada,”kata Pax yang merujuk kepada empat adiknya, Zahara, 18, Shiloh, 17, dan kembar Vivienne and Knox, 15.

Pitt dan Jolie mendirikan rumah tangga bersama pada tahun 2014 dan membuat keputusan untuk mengakhiri perkahwinan mereka sekitar 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN