Beraksi di Korea Selatan, Aina Abdul bangga bawa nama Malaysia - Utusan Malaysia

Beraksi di Korea Selatan, Aina Abdul bangga bawa nama Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Aina Abdul, mengakui terharu dan bergangga apabila terpilih mewakili negara sekali gus berpeluang mengharumkan nama Malaysia untuk beraksi di pentas global ‘ABU TV Song Festival 2023’ anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU), di Korea Selatan, baru-baru ini.

Menurut Aina, peluang itu melengkapkan lagi impiannya untuk mengembangkan bakat dan kerjaya seninya ke luar negara.

“Diberi peluang keemasan mewakili Malaysia untuk beraksi di pentas antarabangsa merupakan satu penghormatan yang cukup istimewa buat saya. Ia bukan sahaja memberi dimensi positif kepada kerjaya seni, bahkan antara satu pengalaman terbaik yang pernah saya kecapi sebagai penyanyi.

“Seperti yang kita tahu, industri K-Pop mempunyai reputasi global dan digilai oleh peminat seluruh dunia. Manakala KBS pula merupakan antara platform utama yang menjadi lubuk kelahiran artis-artis ternama KPop.

“Mengetahui bahawa program ini turut disiarkan di saluran KBS dan persembahan saya akan ditonton oleh jutaan rakyat Korea Selatan khususnya, tak dapat nak menggambarkan betapa bermaknanya peluang ini. Walaupun hanya menyanyikan sebuah lagu sahaja, saya bangga dapat membawa nama dan budaya Malaysia tercinta di persada dunia,”katanya.


Dalam masa yang sama, kata Aina, kesempatan beraksi di festival tersebut turut melengkapi hasratnya untuk menghiburkan peminat di luar negara.

Bahkah, kata Aina, dia terharu apabila mendapat tahu ada kalangan penonton yang sanggup datang dari jauh untuk menonton persembahannya secara live.

“Saya rasa cukup bertuah kerana bukan sahaja dapat berkongsi pentas dengan barisan penyanyi handalan dari rantau Asia-Pasifik, malah dapat mengutip pengalaman bekerja dengan kru produksi televisyen antarabangsa yang cukup berdedikasi dan profesional.

“Segala urusan berkaitan program juga berjalan dengan lancar dan menyeronokkan. Walaupun terdapat kekangan bahasa, namun tiada sebarang masalah yang timbul kerana segalanya telah disusun secara terperinci dan teratur. Pihak KBS juga ada menyediakan penterjemah untuk semua peserta bagi memudahkan komunikasi.

“Saya harap persembahan kelmarin dapat memukau semua audien yang menonton termasuk di dewan dan di rumah. Manalah tahu, mungkin selepas menonton program tersebut, nama saya di Korea Selatan semakin diingati, peminat semakin bertambah dan mereka mula mengikuti evolusi muzik Aina Abdul,”katanya.

Selain Aina, penganjuran festival nyanyian berprestij edisi ke-12 yang dihoskan oleh stesen televisyen nasional Sistem Penyiaran Korea (KBS) itu menyaksikan pembabitan seramai 11 penyanyi tersohor dari 11 negara.

Dalam perkembangan lain, Aina baru-baru ini juga telah melancarkan album sulung berjudul Imaji yang memuatkan 14 buah trek lagu ciptaannya.

Ia merangkumi lagu berjudul Jangan Mati Rasa Itu, Imaji, Satu Rasa, Kamu, Puas Sudah, Sesal, Kejam, Bilang, Bukan Untukku, Sedia Terluka, ‘ni Bukan Cinta, Lost, Penat Jiwa dan Kunci.

Selain itu, Aina juga bakal mengadakan konsert solo berskala besar ‘A Night With Aina Abdul’ 3.0 anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Aina Abdul Entertainment (AAE) yang akan bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil pada 18 November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN