Artis pelbagaikan cabang kerjaya, jangan cuma tumpu bidang seni - PKAVM - Utusan Malaysia

Artis pelbagaikan cabang kerjaya, jangan cuma tumpu bidang seni – PKAVM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) menasihatkan setiap artis tempatan supaya mempelbagaikan cabang kerjaya dengan tidak bertumpu pada lakonan atau nyanyian semata-mata.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Tukiman Radion berkata, amalan budaya dalam kerjaya seni tidak membolehkan seseorang artis itu mampu bertahan selamanya dan meneroka bidang perniagaan mungkin satu daripada usaha yang mendatangkan manfaat.

“Kerjaya sebagai artis atau selebriti ini, kita tidak seperti mereka yang bekerja makan gaji bulanan. Jadi, saya cadangkan, jangan tumpu cuma pada bidang ini 100 peratus.

“Cuba terokai juga bidang perniagaan. Tetapi itu tidak bermaksud saya menyuruh artis atau selebriti itu tinggalkan terus dunia seni hiburan.

“Kalau ada tawaran yang datang dan sesuai, ambil dan boleh buat. Kalau tiada, boleh teruskan perniagaan,”katanya.

Tukiman berkata demikian semasa dihubungi bagi mengulas mengenai kenyataan pelawak dan pengacara senior, Abon, yang mengumumkan hasratnya untuk mengundur diri daripada dunia seni hiburan.

Menerusi satu temu bual dengan media tempatan, Abon atau nama sebenarnya, Sharizan Ahmad, 63, berbuat demikian kerana kecewa tidak lagi menerima sebarang tawaran.

Selain itu, bagiTukiman, Abon mempunyai bakat besar dalam bidang komedi dan pengacaraan dan tidak seharusnya membuat pengumuman seperti itu.

“Hal ini juga berbalok kepada urusan rezeki. Jadi tak perlu kata nak berhenti. Kalau tiba-tiba ada tawaran datang macam mana? Nak terima atau tidak? Kalau ada tawaran tak akanlah nak tolak rezeki.

“Jadi lebih baik buat dan teruskan sahaja. Ketika tiada tawaran datang, boleh isi ruang yang ada dengan kerjaya usahawan dan sebagainya.

“Kalau boleh usah sebut apa-apa. Kalau mahu utarakan sesuatu itu perlu lebih berhemah,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN