Ada majikan lambat bayar gaji, jangan jejaskan motivasi pekerja - Mila Jirin - Utusan Malaysia

Ada majikan lambat bayar gaji, jangan jejaskan motivasi pekerja – Mila Jirin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan selebriti usahawan tempatan, Mila Jirin, 35, menasihatkan golongan majikan termasuk mereka yang bergelar pengasas syarikat supaya tidak melengah-lengahkan proses pembayaran gaji kepada pekerja-pekerja.

Menurut Mila atau nama sebenarnya, Norsyarmilla Jirin, kepatuhan pihak syarikat membuat pembayaran gaji mengikut waktu yang awal adalah penting bagi menjaga dan menjamin kebajikan golongan pekerja.

“Kenapa ada syarikat bayar gaji lambat? Kalau simpan duit dalam akaun syarikat pun ada dapat tambahan pulangankah? Tiada kan? Jadi kenapa kena luluskan gaji pekerja sampai 7 hari bulan?

“Bagi saya, tak perlulah bayar gaji lambat. Walaupun kita sebagai majikan ada indikator sebelum 7 hari bulan, tetapi janganlah kita bayar gaji kakitangan pada 6 atau 7 hari bulan?

“Kata nak kakitangan kita memberikan produktiviti yang tinggi, tetapi kita sendiri yang tidak memainkan peranan untuk memberikan mereka motivasi agar mereka jadi lebih berproduktiviti,”katanya.

Mila berkata demikian dalam satu hantaran di Instagram dan Tik Tok hari ini.

Tambah penyanyi yang juga produk kelahiran Akademi Fantasia musim ke-5 (AF5) ini, dia percaya, adalah penting untuk setiap majikan memastikan kakitangan bekerja dalam suasana yang menyeronokkan.

“Kita kena bagi mereka (kakitangan) rasa gembira bekerja dengan kita. Ia adalah situasi menang-menang. Awak gembira, saya gembira,begitulah.

“Jadi kepada semua pengasas dan para majikan yang mendengar celoteh saya ini, kalau kita simpan duit dalam akaun syarikat sehingga 7 hari bulan, tiada pulangan tambahan pun kepada syarikat.

“Kakitangan kita sama juga macam kita, ada pelbagai komitmen. Perlu bayar ansuran rumah, kereta, peribadi dan sebagainya. Mereka perlu bayar mengikut tarikh yang ditetapkan.

“Cuba bayangkan, disebabkan kita lambat bayar gaji, kita telah menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk membuat bayaran misalnya. Tapi, kalau kita bayar awal gaji mereka setiap bulan, kita dapat bantu mereka untuk memastikan segala urusan mereka dibuat pada waktunya,”katanya.

Jelas Mila lagi, sebagai usahawan, dia yakin sekiranya setiap majikan melakukan perkara itu secara terus, ia akan menjadi satu daripada penanda aras untuk kakitangan menjadi ‘self-motivated’.

“Itu yang kita mahukan. Bila mereka ada motivasi, tentunya pekerja-pekerja akan memberikan hasil kerja yang baik. Kita juga telah berbuat baik kepada mereka, jadi tentunya Allah SWT pun akan berikan kebaikan,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN