KUALA LUMPUR : Pelakon, Julia Farhana Marin, mengakui, sejak mengenakan hijab beberapa bulan lalu, dia tidak lagi selesa melakukan sebarang babak bersentuhan dengan pelakon lelaki.
Menurut Julia, tanpa paksaan sesiapa, perasaan itu lahir dari dalam hatinya sehingga menyaksikan terdapat beberapa tawaran lakonan pernah ditolak secara baik demi prinsip diri.
“Kebanyakan tawaran yang ada babak seperti itu datangnya daripada produksi siaran platform Over The Top (OTT). Saya tengok banyak babak di dalam skrip, melibatkan adegan bersentuhan walaupun mereka tahu saya kini sudah berhijab.
“Saya terpaksa tolak dengan baik dan jelaskan sebab apa. Mereka faham tetapi turut mengakui yang skrip tersebut tidak dapat diubah. Jadi saya akur sahajalah, tak dapat kerjasama.
“Mungkin selepas ini ada watak yang bersesuaian, saya akan ambil,”katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Tatagaltier di sini, baru-baru ini.
Menurut Julia lagi, meskipun terpaksa menolak tawaran, dia mengakui tidak menyesal dan selalu percaya pada rezeki Allah SWT.
“Tak rasa menyesal pun sebab saya percaya, rezeki di tangan Allah SWT. Lagipun, kalau ambil juga tawaran itu, saya sendiri yang rasa tak selesa nak buat. Macam mana nak berlakon?
“Ketika nekad berhijab beberapa bulan lalu pun saya dah fikir tentang impak dalam kerjaya lakonan. Kesedaran itu hadir secara semula jadi tanpa paksaan, jadi tidak timbul penyesalan dalam hati apabila kita sendiri mahu istiqamah yang hakikatnya mempunyai cabaran tersendiri.
“Orang-orang sekeliling yang rapat juga berperanan penting dalam memberikan sokongan dan bagi diri saya, suami serta keluarga mentua turut banyak menyuntik kesedaran hingga perjalanan ini tampak lancar,” katanya.
Jelas isteri kepada pensohor media sosial, Dr. Mohammad Che Hafiz Che Ibrahim ini, dia berharap semua pihak terutama peminat supaya mendoakan dirinya untuk kekal istiqamah.
Selain itu, Julia yang kini menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Muda Psikologi turut berharap supaya orang ramai tidak mudah menghukum mana-mana selebriti yang terkandas dalam perjuangan mereka menutup aurat dengan sempurna.
“Ini kerana bagi saya, setiap orang melalui fasa tertentu dan cara penerimaaan terhadap sesuatu isu pun berbeza. Andai hati mereka berbolak balik, kita nasihat atau doakan saja mereka, itu lebih baik berbanding mengeji.
“Saya yang cuma beberapa bulan lalu mengenakan tudung ada merasai cabarannya dan ia membuatkan saya tak akan menilai sesiapa pun. Kita tak akan tahu, barangkali mereka yang kita kecam itulah yang kekal istiqamah selamanya apabila sudah bersedia nanti,”katanya.