Saya akan jumpa mak, tapi biar waktu menentukan - Shila Amzah - Utusan Malaysia

Saya akan jumpa mak, tapi biar waktu menentukan – Shila Amzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : “Saya ambil keputusan berdiam diri sehingga perkara ini reda,”

Demikian respons penyanyi, Shila Amzah, 33, mengenai hubungannya dengan ibu, Fauziah Sarman, 56, yang tegang semenjak konflik keluarga mereka mula diperkatakan minggu lalu.

Menurut anak sulung kepada empat beradik itu, dia tidak mahu terlalu memaksa sebaliknya berharap takdir akan meredakan kemelut keluarganya secepat mungkin.

“Perkara ini akan ambil masa dan saya tidak mahu terlalu memaksa. Kita tunggulah agar semua ini dapat diselesaikan dengan cara semula jadi.

“Saya akan jumpa emak, sebab dia tetap ibu saya. Cuma bila waktunya, biarlah masa dan jodoh yang menentukan.

“Saya harap semua dapat mendoakan agar semua perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Shila ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media konsert minggu pertama Famili Duo musim ketiga, semalam.

Walaupun kelibat ibu memberikan sokongan tidak kelihatan semasa konsert seperti pertandingan sebelumnya, Shila tetap bersyukur kerana dikelilingi suami serta rakan-rakan yang tidak putus memberi semangat.

“Saya dapat sokongan yang hebat daripada suami.Kebetulan Syahir pula selalu dengan saya kerana terikat dengan Famili Duo.

“Rakan-rakan industri pun ada di sekeliling saya membuatkan setiap perkara yang terjadi mudah untuk saya kendalikan,”katanya.

Bagi memberi fokus kepada pertandingan dan melindungi emosi, Shila mengambil pendekatan tidak membaca komen di media sosial.

“Saya tidak baca komen di media sosial sebab ia terlalu banyak. Selain itu, saya mahu fokus kepada orang yang berada disekeliling saya.

“Orang luar kadang tak tahu sepenuhnya cerita. Apa yang terjadi sangat memantangkan saya,” katanya lagi.

Shila dan adiknya, Syahir tampil sebagai pasangan di pentas Famili Duo musim ketiga.

Selain mereka terdapat beberapa penyanyi turut mengambil bahagian seperti Syaiful dan Sharif, Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi, Fuad Rahman dan Tom, Ryan Bakery dan Adam Bakery serta Haqiem Rusli dan Ariff Bahran.

Juara mingguan bakal memenangi hadiah berjumlah RM10,000 pada tujuh episod pertama, manakala finalis di pentas akhir Famili Duo berpeluang merebut hadiah utama wang tunai RM100,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN