KUALA LUMPUR : Penerbit terkemuka tanah air, Datuk A.Aida, mengakui reda dengan keputusan mahkamah yang memerintahkan pelakon, Amelia Thripura Henderson membayar ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 kepada produksi A. Aida Production Sdn. Bhd.
Menurut A.Aida, meskipun pihaknya menghormati keputusan mahkamah yang turut bersetuju berlakunya perlanggaran kontrak, namun jumlah yang dikenakan terhadap pelakon tersebut disifatkan rendah.
“Peguam saya belum dapat lagi alasan bertulis penghakiman. Tapi secara ringkas saya dimaklumkan peguam bahawa mahkamah bersetuju berlakunya pelanggaran kontrak seperti yang saya tuntut. Walaupun begitu, jumlah RM10,000.00 yang dikenakan, dengan hormat saya berpendapat adalah rendah.
“Untuk fitnah, saya tidak dapat komen kerana ia adalah discretionary (budi bicara) atas pemahaman posting tersebut dan mahkamah tinggi mendapati ia bukan fitnah.
“Walau bagaimanapun, saya menghormati keputusan mahkamah tinggi dan akan berbincang lanjut dengan peguam sama ada perlu atau tidak untuk merayu lanjut ke mahkamah rayuan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, jelas A.Aida, di sebalik isu ini, pihaknya berpendirian jelas dengan perjuangan asal yang mana, setiap artis perlu menghormati kontrak yang diberikan.
“Yang penting objektif nak bagi pengajaran kepada artis supaya menghormati kontrak yang telah ditandatangani telah tercapai melalui usaha membawa kes berkenaan ke mahkamah.
“Apa yang pernah saya perjuangkan berlakunya langgar kontrak telah turut diperaku oleh mahkamah tinggi dan mahkamah turut menasihati kepentingan menghormati kontrak agak ia tidak memberikan masalah kepada pihak yang tak bersalah.
“Saya rasa kita perlu lihat secara menyeluruh keputusan mahkamah tinggi tersebut dan nasihat yang telah diberikan oleh Yang Arif tentang pentingnya menghormati kontrak,”katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, menetapkan Amelia tidak perlu membuat bayaran ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A. Aida Production Sdn. Bhd. dalam isu pelanggaran kontrak drama Sekali Lagi Cinta Kembali tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Amelia selaku pemohon selain telah meneliti segala rekod rayuan secara maksima dan hujah kedua-dua pihak.
Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong turut berpuas hati bahawa pernyataan Amelia dalam laman Instagramnya tidak memfitnah A. Aida Production mahupun merujuk kepada syarikat produksi itu.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson membayar ganti rugi nominal RM10,000 dalam tempoh 14 hari dan faedah lima peratus kepada syarikat produksi terbabit bermula hari ini.
Dalam prosiding secara dalam talian itu, Amelia diwakili peguam Mansheel Kaur manakala syarikat produksi selaku responden diwakili peguam Ashmadi Othman.
Pada 18 April lalu, aktres berusia 28 tahun itu telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd.