KUALA LUMPUR: Konsert After Hours With Hetty Koes Endang yang dijadualkan berlangsung pada 11 November ditunda ke 24 Februari, tahun depan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganjur dan Pengarah Eksekutif Visual Print Sdn Bhd, Anis Fathiah Abd Hamidmberkata, penundaan itu terpaksa dibuat berikutan kegagalan pihaknya memohon permit dari Pusat Permohonan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) untuk penyanyi legenda berkenaan.
Katanya, pada masa yang sama, Hetty juga sedang terikat dengan program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) sehingga Disember depan.
“Konsert ini sepatutnya diadakan pada 11 November tetapi kami terpaksa tunda kerana permohonan di PUSPAL hanya boleh dibuat selepas tamat perjanjian kerjasama antara Hetty dan pihak Astro pada Disember ini.
“Permohonan pemprosesan PUSPAL bagi Hetty hanya akan diterima selepas tamatnya perjanjian kerjasama dengan Astro. Hetty tak boleh mempunyai dua permit dalam satu masa. Kelewatan dalam permohonan ini menyebabkan penundaan dalam kelulusan persembahan konsert.
“Kami difahamakn, selepas tamat perjanjian kerjasama bersama Astro, barulah permohonan PUSPAL boleh dibuat. Kami ingin memohon maaf kepada semua peminat Hetty dan sedang berusaha untuk memastikan konsert berkenaan dijalankan pada tarikh baru nanti,”katanya.
Anis yang ditemui pada satu sesi santai bersama media semalam selain memberitahu konsert tersebut akan diadakan di Grand Ballroom, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Selangor.
Selain itu, Anis berkata,pihaknya optimis dengan pernundaan itu dan percaya peminat yang sudah membeli tiket juga boleh memahami.
“Peminat yang tidak boleh hadir ke konsert tahun depan, boleh memohon pemulangan wang dan sesiapa yang sudah membeli tiket boleh menggunakan tiket sedia ada untuk konsert di tarikh baharu,” katanya.
Sementara itu, Hetty, 66, juga mengakui tidak kesal dengan penundaan tersebut dan menganggap keadaan itu membolehkan dirinya mempunyai banyak ruang dan masa untuk membuat persiapan.
“Kebetulan sekarang saya sedang sibuk dan setiap minggu berulang alik untuk ASGV. Jadi saya percaya ini semua ada hikmahnya. Apa yang penting kita utamakan kesihatan supaya semuanya berjalan lancar.
“Kita ikut saja apa yang dimahukan oleh PUSPAL kerana setakat ini saya selalu mengikut apa saja peraturannya. Insya-Allah mungkin saya mempunyai masa untuk membuat persiapan yang lebih rapi untuk ‘show’ ini,” katanya.
Mesra disapa Bunda, Hetty akan menyampaikan tujuh buah lagu di persembahan malam itu nanti termasuk kolaborasi bersama Zul 2 By 2 dan anaknya, Afifah Yusuf.
Tiket untuk konsert itu dijual dari RM988 sehingga RM288 di laman web rasmi TIXBOX www.tixbox.com/ticket/after-hours-with-hetty-koes-endang atau hubungi +60 17-711 8945 untuk tempahan meja.