PETALING JAYA: Pelakon, Azri Iskandar, mengakui, hubungan percintaannya dengan seorang wanita yang didakwa sebagai tunangnya iaitu Dr Azra Diera, kini sudah mulai renggang.
Azri Iskandar Zulkiffly Iskandar, 55, berkata, dia dan Azra, 44, sudah setahun tidak bertemu selain kurang membalas mesej seperti selalu.
“Tahun lepas adalah kali terakhir saya berjumpa. Saya ada ajak keluar tapi dia sibuk dengan penggambaran dokumentari di luar negeri.
“Saya tidak berkecil hati. Kalau dia diam, saya diam juga. Dia tak cari pun tidak mengapa lagi pula saya ramai kawan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana filem Kutukan Sembilan Setan, semalam.
Melihat kepada hubungan yang semakin dingin, Azri juga enggan bercakap lebih lanjut tentang perkahwinan walaupun pernah beberapa kali merancang sebelum ini.
“Tentang kahwin kita tengok dulu macam mana. Kami sudah mula renggang jadi saya kena perbaiki dahulu hubungan kami ini. Kami tidak gaduh, cuma jarang jumpa,” katanya.
Pelakon Pontianak Harum Sundal Malam itu juga mengakui anak-anak termasuk bekas isteri, Ellie Suriaty ada menyuruhnya mengenali wanita lain.
“Anak-anak dan bekas isteri suruh cari wanita lain. Mereka masih anggap Azra scammer sedangkan Azra wujud, ramai geng ASWARA kenal dia.
“Mereka turut mempersoalkan keikhlasan Azra sebab tidak benarkan tunjuk walau sekeping gambar pun.
“Saya ada keluar juga, kenal-kenal dengan beberapa wanita sebelum ini. Kalau yang itu, mereka setuju,” dedahnya.
Sebelum ini Azri pernah mendakwa bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita bernama Azra namun ditangguhkan beberapa kali kerana masalah kewangan.
Namun begitu, hubungan Azri dan Azra menjadi sensasi apabila ada pihak mendakwa Azra sebenarnya tidak wujud dan Azri menjadi mangsa ‘love scam’.