KUALA LUMPUR : Penyanyi, Siti Nordiana, mendedahkan, dia pernah melalui fasa cinta monyet dengan vokalis kumpulan Spin, Allahyarham Achik, ketika di usia belasan tahun namun perhubungan itu berlangsung cuma seketika.
Menurut penyanyi yang mesra disapa sebagai Nana ini, pada awalnya ramai mengusik mereka kelihatan sepadan sehingga gosip yang bertebaran membuatkan mereka menjadi malu-malu setiap kali bertemu atau bertembung.
“Sebenarnya itu cuma cerita lama, zaman cinta monyet dulu sewaktu saya masih remaja berumur 15, 16 tahun. Masa tu saya digosipkan dengan arwah Achik.
“Kalau pergi mana-mana, apabila digosipkan mesti kita ada rasa malu-malu dengan dia (tapi) kiranya macam dia memang ada hati kat saya masa itu.
“Saya tahu sebab selama ini dia pergi ‘show’ sebab minat saya punya suara, jadi kita tahulah dia peminat kita, cuma sekejap saja kami bercinta,” katanya ketika ditemu bual sebuah program radio, baru-baru ini.
Bagaimanapun, kata wanita berstatus ibu tunggal ini, dia berharap tiada pihak salah faham memandangkan itu hanya kisah lampau, apatah lagi mereka memilih untuk berkawan baik saja selepas itu.
Malah teman duonya itu juga antara individu yang banyak memberikan sokongan ketika dia menempuh pelbagai dugaan terutama pada fasa perceraian dengan bekas suaminya, Allahyarham Faizal Yusop.
“Masa saya bercerai dulu Allahyarham banyak bagi semangat, ceriakan saya dengan lawaknya dan Achik sememangnya seorang kawan yang sangat baik,” katanya.
Menurut peserta Gegar Vaganza All Stars (GV10) itu, andai sahabatnya masih ada, tentu saja Achik juga pasti berada di gelanggang pertandingan yang sama.
“Saya rasa jika dia ada tentu dia masuk Gegar Vaganza. Dia pun selalu bagi kata-kata semangat kepada kawan lain,” kongsinya.
Duo antara Achik atau nama Abdillah Murad Md. Shari dengan Siti Nordiana Alias atau Nana bermula sejak tahun 2000 dan mereka telah merakamkan dua album.
Antara lagu popular pasangan terbabit adalah Gurauan Berkasih ciptaan Patrick Kamis disusuli Memori Berkasih, Resepi Berkasih, Paling Comel dan Mari Bermain Tali.
Achik menghembuskan nafas terakhir pada usia 28 tahun akibat kemalangan kereta di Lebuhraya Kajang-Seremban pada 17 April 2010.