Batal tayangan filem Pagari Bulan, Finas buat apa? - Michael Ang - Utusan Malaysia

Batal tayangan filem Pagari Bulan, Finas buat apa? – Michael Ang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penerbit dan pengarah, Michael Ang, mempersoalkan keputusan dan tindakan beberapa buah pawagam yang mengurangkan dan membatalkan tayangan filem Pagari Bulan di seluruh negara.

Menurut Michael, tindakan tersebut menyebabkan penerbit filem berkenaan, Raja Mukhriz Raja Ahmad dan isterinya, pelakon, Sharifah Shahora, berdepan dengan kebuntuan memandangkan syarat wajib tayang sepatutnya dalam tempoh 14 hari.

“Saya turut berlakon dalam filem Pagari Bulan sebagai cameo dan banyak juga orang komen yang filem itu bagus. Para pengkritik filem pun kata bagus dan berikan rating yang tinggi untuk filem itu termasuk mereka yang kononya tak suka filem Melayu pun berikan komen yang bagus.

“Ramai kata sinematografi filem, cara pengarahan bagus dan ada unsur-unsur sejarah. Tapi masalahnya kenapa tak ada sambutan di panggung? Sebab promosi tak cukup kuat?

“Lepas itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) buat apa? Suka-suka panggung boleh batal tayangan semua itu, kata ada 14 hari wajib tayang? Tolonglah buat sesuatu,”katanya.

Michael berkata demikian dalam satu video ringkas yang dibuat menerusi platform Instagram pada malam tadi.

Menerusi video yang sama, kata Michael, dia ingin membantu sahabatnya, Shahora untuk mengajak peminat filem tempatan memberi sokongan terhadap filem tersebut di pawagam.

“Kepada anda semua, pergilah sokong dan tonton filem ini. Kasihanlah pada Shahora. Susah payah dia dan suami terbitkan filem ini,”katanya.

Sementara itu, menjenguk ke akaun Instagram Shahora, Utusan Malaysia mendapati, pelakon tersebut turut meluahkan rasa kesal terhadap tindakan pawagam yang mengurangkan tayangan filem berkenaan.

“Bila hari Ahad dah mula orang nak tengok filem ini, kau (pawagam) kurangkan panggung pula. Pada hujung minggulah orang keluar pergi tengok wayang.

“Di laman sesawang ada, tapi bila datang kaunter tak ada tayangan,”katanya.

Dalam pada itu, pengikut Michael turut meluahkan pandangan mengenai situasi dan melihat kekurangan promosi sebagai punca filem itu tidak mendapat sambutan daripada penonton.

Menurut pengguna akaun Syafiqsyax, dia tidak tahu kewujudan filem ini kerana kurangnya promosi daripada pihak produksi.

“Saya sebagai penonton, tak tahu pun kewujudan filem ni. Tak promosi iklan satu hingga dua minggu sebelum tayangan. Di medium televisyen atau media sosial Tik Tok, tak ada nampak pun promosinya.

“Ini Michael yang beritahu baru saya nak kena buat carian di Youtube. Di TV itupun, tayangkanlah ‘Behind The Scene’ atau tayang 20 minit awal. Macam filem Polis Evo yang baru-baru ini,”katanya.

Berkongsi pandangan yang sama ialah pengguna akaun Instagram Taksukablocksaja yang menyifatkan penggunaan platform seperti Tik Tok dapat menaikkan kesedaran orang ramai mengenai tayangan filem ini.

“Filem hebat macam mana pun kalau pemasaran tak buat, tak akan jadi apa. Kenapa tak guna Tiktok, stesen tv untuk promosi trailer dan sebarkan kesedaran tentang filem ini?

“Pembikinan filem ini macam bisnes juga. Kalau orang nampak orang akan pergi tengok,”katanya.

Filem terbitan Eleven Field Creative Sdn Bhd ini mula ditayangkan pada 5 Oktober lalu dan dibarisi oleh pelakon hebat seperti Nazeera Sardi, Aniq Durar, Trisha Ooi, Andy Teh dan Alvin Wong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya