KUALA LUMPUR : Penyanyi antarabangsa, Olivia Rodrigo, 20, tidak menyangka wujud andaian nakal bahawa dia sebenarnya menyindir penyanyi popular, Taylor Swift, menerusi lagu berjudul Vampire.
Menurut Olivia, isu tersebut tidak sepatutnya timbul kerana lagu tersebut tidak ada kena-mengena dengan mana-mana pihak termasuk tidak bertujuan untuk menyindir sesiapa.
“Bagaimana saya nak jawab pertanyaan ini ya? Maksud saya, tidak pernah sekali pun saya mahu sebut mana-mana lagu yang pernah saya hasilkan adalah ditujukan untuk sesiapa.
“Belum pernah lagi saya buat begitu dalm kerjaya seni dan mungkin tidak akan langsung buat begitu. Bagi saya lebih baik jangan mudah wujudkan persepsi terhadap sesebuah lagu.
“Saya sebenarnya masih lagi tak sangka yang ramai kalangan peminat mahupun pendengar boleh terfikir untuk mengaitkan lagu itu seperti itu,”katanya.
Spekulasi mengenai isu sindiran ini timbul selepas Olivia melancarkan lagu Vampire hujung Jun lalu dan peminat mula mengaitkannya dengan isu yang berlaku antaranya dengan Taylor.
Ia merujuk kepada lirik berbunyi ‘Bloodsucker, fame f**ker, bleeding me dry like a goddam vampire’ yang didakwa netizen mempunyai kaitan dengan penyanyi lagu Love Story itu.
Bagaimanapun, setakat ini, difahamkan Taylor masih belum memberi sebarang komen berhubung isu yang bertebaran.
Gosip mengenai hubungan dingin Olivia dan Taylor mula tular sejak 2021 selepas penyanyi kelahiran California Amerika Syarikat itu terpaksa akur kehilangan royalti dan kredit penulisan lagu Deja Vu kerana mempunyai persamaan dengan lagu Taylor yang berjudul Cruel Summer.