Sarimah Ibrahim dakwa pernah diraba penerbit rancangan di tempat kerja - Utusan Malaysia

Sarimah Ibrahim dakwa pernah diraba penerbit rancangan di tempat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim, 45, mendedahkan, dia pernah berkali-kali menjadi mangsa gangguan seksual termasuk diraba oleh seorang penerbit sebuah rancangan terkenal.

Sarimah mendakwa, individu berkenaan berpura-pura membetulkan mikrofon sebelum rancangan bermula dan kemudian mengambil kesempatan memegang bahagian dadanya.

“Saya pernah terkena gangguan seksual semasa berkerja di sebuah set rancangan terkenal. Penerbitnya ketika itu datang menghampiri wajah saya dengan alasan untuk membaiki mikrofon, namun sebaliknya memegang dada saya.

“Dia sempat puji saya cantik ketika itu dan kata kami sangat sepadan jika bersama. Penerbit rancangan juga merupakan suami orang,”katanya.

Sarimah berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di sidang media Siri Astro Original Riot yang berlangsung pada malam Selasa di Kuala Lumpur.

Bukan itu sahaja, individu tersebut turut mengajaknya bercuti bersama dan mengugut menamatkan kontrak pengacaraan jika pelawaan ditolak.

“Selepas itu dia kata saya tak boleh dapat sambung musim yang seterusnya sekiranya saya tidak pergi bercuti bersamanya.

“Saya kata tak apa saya akan bayar percutian saya sendiri. Kamu pergilah,” jelasnya.

Penyanyi Kini Kau Tiada itu turut mengakui ini bukan kali pertama berhadapan situasi seperti itu.

Dia pernah diundang makan malam dan dipaksa berpakaian seksi di hadapan seorang pengarah dalam sebuah bilik.

Kerana Sarimah menolak permintaan tersebut, dia gagal mendapat tawaran pekerjaan seperti yang diinginkan.

“Pengarah itu suruh saya pakai baju seksi yang sudah disiapkan dalam bilik.Saya tanya kenapa saya kena pakai dan pamerkan di dalam bilik ini bersama pengarah tersebut seorang diri? Macam pelik saja.

“Saya tak nak. Selepas itu saya tak dapat tawaran berkenaan. Tak apa, saya lebih rela hilang pekerjaan berbanding hilang maruah,” tambahnya.

Menurut Sarimah, situasi tersebut berlaku ketika dia masih muda dan tidak tahu wujudnya perkataan gangguan seksual.

Berikutan itu, dia menggesa supaya setiap wanita berhak berkata ‘tidak’ sekiranya ada pihak yang cuba memperguna tubuh mereka.

“Saya bermula dari bawah sebagai artis ketika zaman belajar. Saya ingatkan kalau kita ramah, pergi makan dengan orang, itu perwatakan ‘tidak diva’.

“Bila gangguan seksual berlaku, kita banyak salahkan diri kita. Kini bila sudah menjadi ibu dan matang, saya ingin menyuarakan perkara ini.

“Badan kita adalah hak kita tak kira status, agama atau jantina. Tiada sesiapa boleh pegang tanpa kebenaran,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Sarimah kini tampil membawakan karakter peguam, Lydia, dalam sebuah siri drama terbitan Astro Shaw bertajuk Riot yang ditayangkan bermula 22 September.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN