KUALA LUMPUR : Sekeping gambar penyanyi popular antarabangsa, Beyonce, telah mencetuskan jenaka dan dijadikan sebagai meme di kalangan pengguna media sosial Malaysia apabila ia disamakan dengan logo parti politik PAS.
Foto itu menunjukkan Beyonce memakai pakaian hijau dan berdiri dalam bulatan putih, mirip dengan logo parti politik tersebut.
Difahamkan, foto yang dikongsikan oleh rata-rata pengguna aplikasi X itu adalah sempena promosi konsert Jelajah Dunia Renaissance Beyoncé.
Pada hantaran asal gambar itu, netizen meninggalkan pelbagai meme seperti koleksi gambar penyokong PAS termasuk gambar presiden parti tersebut, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Malah, ada juga yang meninggalkan komen lucu dan mengaitkan Beyonce perlu didaftarkan sebagai ahli PAS.
Apa yang lebih melucukan, pemilik akaun kelab peminat Beyoncé turut bertanyakan apakah maksud komen ditinggalkan netizen Malaysia sekaligus menyebabkan ramai pengguna cuba untuk menerangkan di sebalik ‘troll’ berkenaan.
Untuk info, konsert Jelajah Dunia Renaissance ini merupakan persembahan berterusan Beyoncé yang bermula pada bulan Mei lalu melibatkan Eropah dan Amerika Utara dan dijayakan bagi menyokong album ketujuhnya, Renaissance.