Program menarik hiasi Aidilfitri penonton di Awesome TV - Utusan Malaysia

Program menarik hiasi Aidilfitri penonton di Awesome TV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi memeriahkan suasana sambutan Aidilfitri, saluran stesen televisyen Awesome TV meneruskan kesinambungan kempen ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat DenganNya’ menerusi himpunan pengisian istimewa sepanjang Syawal untuk hiburan seisi keluarga secara eksklusif di platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112) pada 1 Syawal ini.

Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, Awesome TV telah merancang strategi penjadualan berstruktur yang efektif untuk memantapkan lagi pengisian kempen ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat DenganNya’ dengan membariskan pelbagai kandungan terhebat secara berterusan di bulan Syawal.

“Bagi menambah keceriaan sekaligus memanfaatkan semangat kebersamaan di musim perayaan,penonton bakal dihidangkan dengan program-program menarik sepanjang hari merangkumi pelbagai genre seperti kandungan hiburan berbentuk ‘spin-off’, variasi, sitkom, komedi, telefilem, koleksi filem tempatan dan antarabangsa, naskhah klasik malar segar serta banyak lagi.

“Semoga sambutan Aidilfitri pada tahun ini akan lebih meriah dengan kehadiran program menarik di Awesome TV yang akan setia menemani para penonton sepanjang Syawal. Semoga terhibur,”katanya.

Antara program menarik yang telah disediakan untuk hiburan seisi keluarga anda sempena Syawal kal ini ialah menerusi slot ‘Ohsem Tele’ yang bakal membariskan telefilem yang sarat dengan penceritaan menarik.

Antara naskhah hebat yang akan ditayangkan termasuklah ‘Alamak! Raya Lagi?’ lakonan bintang berbakat besar kelahiran program Awesome Raja Lawak seperti Kanda ARL, Afea ARL, Oky Danial ARL, Sofwan ARL, Afiq Mabo ARL, Amyza Aznan, Aleza Shadan, Wan Nor Azlin, Delimawati dan Bohari Ibrahim.

Selain itu, telemovie ‘Rompak Raya’ juga bakal disajikan buat penonton dengan penampilan bintang hebat Syafiq Kyle, Amerul Affendi, Haeriyanto Hassan dan Aishah Atan.

Telemovie ‘Mat Ri Ye Pak Din’ lakonan Sharif Zero, Sabri Yunus, Mak Engku dan Cahaya Nilam serta ‘Jeman’ arahan sutradara tersohor Rashid Sibir juga bakal disajikan sempena perayaan kali ini.

Tidak cuma itu, antara telemovie lain yang boleh ditonton ialah Raya Pukul 7, Derhaka Seorang Ibu, Holiday Aji Tom, Suamiku Ol School dan Mempelai Panda.

Selain itu, seleksi filem-filem menarik juga turut disusun kemas untuk sajian penonton sepanjang Syawal ini di Awesome TV.

Antaranya, filem Bollywood berjudul Kaabil lakonan Hrithik Roshan, Jai Ho, Show Me Your Love dan Pengabdi Setan manakala untuk filem tempatan, seleksi menarik ialah menerusi tayangan filem Adnan Sempit, KL Gangster 2 serta banyak lagi.

Minggu pertama Syawal juga akan turut dimeriahkan dengan naskhah-naskhah istimewa lakonan pelawak legenda Senario seperti Senario The Movie: Ep 1, Senario The Movie: Ep 2 Beach Boys, Senario The Movie: Ops Pocot, serta Senario Asam Garam .

Slot Ohsem-Tainment pula bakal membariskan program-program hiburan menarik berbentuk ‘spin-off’ untuk menepati tema Raya dalam pelbagai genre seperti variasi,komedi, sketsa, bual bicara dan banyak lagi.

Antara yang disediakan adalah program Kampung Senariuh Raya, Spoket Raya, Kecoh Raya, Memoria Raya, Warung Wak Raya, Roller Kata Raya, Ha Ha Ha Raya, Cer Teka Raya dan banyak lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN