KUALA LUMPUR: Pelakon, Adlin Aman Ramlie, 50, mengakui, jika tidak kerana Allahyarham Pitt Hanif yang mencadangkan namanya membintangi filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang, mungkin hasratnya untuk kembali berlakon masih tertangguh.
Selesa berada di belakang tabir, anak pelakon veteran, Ruminah Sidek itu menganggap, tawaran tersebut datang tepat pada waktunya setelah tiga tahun tidak berlakon.
“Terus-terang, ada beberapa sebab saya terima tawaran berlakon filem ini. Saya kenal arwah Pitt sudah lama, sejak 1990-an lagi ketika dia belajar di Akademi Filem, manakala saya pula di Akademi Seni Kebangsaan.
“Dia yang mencadangkan nama saya kepada penerbit, malah turut percaya saya mampu membawakan watak itu dengan baik.
“Tipulah kalau saya katakan tidak rindu pada dunia lakonan selama menyepikan diri. Jadi, apabila ada tawaran, ini masa terbaik untuk saya kembali berlakon.
“Pada masa sama, saya juga ingin memberi sokongan kepada rakan dalam industri filem,” katanya.
Membawakan watak antagonis, Samat dalam filem terbitan Arie Zaharie Productions itu, Adlin berkata, ia memberinya cabaran apabila melakukan sendiri babak aksi.
“Filem ini menampilkan babak aksi pergaduhan yang tidak pernah saya lakonkan sebelum ini. Saya tidak merujuk mana-mana filem, sebaliknya sedaya upaya cuba mencipta gaya dan karakter mengikut idea serta kreativiti sendiri.
“Kami mendapat bimbingan daripada koreografer profesional seminggu sebelum penggambaran, selain ada juga sesi latihan di studio.
“Babak pergaduhan membabitkan aksi berterusan dan banyak percubaan perlu dilakukan untuk dapatkan syot menarik. Lebam-lebam pada tubuh itu biasa,”katanya.
Mengulas pengalaman bekerja dengan arwah Pitt, kata Adlin, dia tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan pengarah tersebut.
“Memandangkan kami sudah lama kenal, jadi saya mengenali personaliti dan cara kerjanya. Kami banyak berbincang mengenai watak ketika sesi pembacaan skrip dan ada juga idea yang saya selitkan untuk filem ini.
“Jika sesuatu babak itu dirasakan tidak okay, saya beritahu terus-terang. Pendek kata mudah kerja dengan arwah sebab dia terbuka menerima pandangan kami sebagai pelakon,” katanya.
Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu turut menampilkan pelakon, Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin.
Selain Adlin, filem ini turut dibintangi Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Hafiz Nafiah, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Affandi, Iman Zulkarnain dan Trisha Ooi.
Ia mula menjengah pawagam seluruh negara dan ditayangkan serentak di Singapura serta Brunei Darussalam sejak 2 Februari lalu.