Dolla kembali dapatkan khidmat komposer Sweden - Utusan Malaysia

Dolla kembali dapatkan khidmat komposer Sweden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Muncul dengan lagu terbaharu berjudul Look At This, kumpulan Dolla tidak menolak kali ini kembali menggunakan khidmat komposer Sweden selepas kali pertama berbuat demikian menerusi lagu Impikan.

Mewakili kumpulan, kata Tabby, mereka terbuka untuk menggunakan khidmat komposer luar bagi menyuntik elemen segar dalam penghasilan lagu itu, sesuai dengan kemunculan baharu mereka.

“Look At This boleh dikatakan berbeza sedikit dengan lagu-lagu kami yang telah dihasilkan sebelum ini dan kami berbesar hati dapat khidmat komposer dari Sweden lagi kali ini. Ia ditulis dalam bahasa Inggeris sebelum diterjemahkan kepada bahasa Melayu.

“Malah, rentak tari untuk lagu ini juga lebih berat pada unsur hiphop. Kami masih menggunakan khidmat Ezra Tham dan pasukan tari daripada UNC Dance Studio untuk membimbing kami dari aspek koreografi tarian.

“Untuk video muziknya pula kami bekerjasama dengan Ghazi yang sudi mendengar pendapat kami demi secebis kelainan. Kami bersyukur kerana sangat mudah bekerja dengan semua orang,”katanya.

Tabby berkata demikian semasa ditemui pada sidang media pelancaran lagu Look At This di ibu negara, baru-baru ini.

Turut hadir ialah anggota Dolla lain iaitu Sabronzo, Syasya dan Angel.

Selain itu, menurut Tabby lagi, Look At This menceritakan tentang keyakinan yang harus ada pada diri seseorang.

“Ia menyentuh tentang keyakinan diri dan bagaimana kita tidak perlu mempedulikan kata orang lain. Lagunya yang rancak juga memberi gambaran tentang keperibadian seseorang yang yakin dengan penampilan dirinya yang menarik.

“Malah ada bait lirik lagu yang berbunyi ‘kau pandang di sini mata memerhati, but I ain’t even worried about that. Itu antara yang menarik bagi saya.

“Kebanyakan lirik dalam lagu ini sebenarnya membuatkan kami jadi sangat bersemangat,” katanya.

Berkongsi mengenai pembikinan klip video pula, Sabronzo menjelaskan ia agak mencabar kerana mereka perlu menyiapkannya hanya dalam tempoh satu hari.

“Cabaran pertama adalah kami terpaksa siapkan video muzik dalam satu hari lebih gara-gara cuaca yang buruk.

“Yang kedua adalah kami terpaksa mengumpul tenaga dan bersengkang mata selama 28 iam untuk menyiapkannya.

“Pada asalnya kami diperuntukkan dua hari, tetapi gara-gara cuaca begitu, maka wujud halangan. Bagaimanapun, syukur, semuanya telah selesai dan kami berpuas hati dengan hasil akhirnya,”katanya.

Look At This kini boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.

Manakala muzik videonya pula sudah boleh ditonton di laman YouTube rasmi Dolla.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya