Ada yang berani DM isteri tawar diri bermadu - Namie UBI - Utusan Malaysia

Ada yang berani DM isteri tawar diri bermadu – Namie UBI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelawak dan anggota kumpulan UBI, Namie, mendedahkan, isterinya, Izzatul Akma pernah menerima mesej daripada pengguna media sosial yang bertanya kesudiannya untuk hidup bermadu.

Menurut Namie atau nama sebenarnya, Najmi Shaharudin, dia tidak menyangka ada wanita yang sanggup bertanyakan soalan itu biarpun sudah mengetahui statusnya sebagai suami dan bapa.

“Tidak dinafikan dugaan setelah bergelar selebriti agak lain. Meskipun setakat ini nama saya bersih daripada sebarang kontroversi, dugaan tetap datang, tetapi dengan cara berbeza.

“Saya didekati peminat, terutama wanita yang berani meluahkan pelbagai perkara menerusi mesej di media sosial. Paling tidak sangka apabila ada yang berani mesej isteri dan bertanya sudikah untuk hidup bermadu.

“Perkara itu agak mengejutkan. Mujur isteri memahami dan hanya ketawa kerana tahu bukan saya yang memulakan perkara itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media UBI Superstar Live, di sini, semalam.

Pelawak berusia 27 tahun ini juga bersyukur kerana isterinya tidak mudah melatah, apatah lagi cemburu apabila dirinya menjadi perhatian umum.

“Antara saya dan isteri tiada rahsia. Apa sahaja mesej yang saya terima di media sosial, isteri akan tahu. Dia profesional dan tidak cemburu buta.

“Saya tidak risau sebab dia tahu apa yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Namie berkata, dia yakin jika seorang suami melayan dan menjaga isterinya dengan baik, keharmonian rumah tangga dapat dikekalkan.

“Saya memang jaga diri dan tidak mahu dikaitkan dengan kontroversi bukan-bukan. Antara yang saya titikberatkan ialah berusaha menjaga hati isteri sebaik mungkin.

“Saya tahu akan ada orang luar yang cemburu atau cuba memporak-perandakan hubungan kami, tetapi kami letakkan kepercayaan antara satu sama lain.

“Dulu saya cuma fikir emak dan ayah, tetapi sekarang apa yang saya buat sebenarnya meninggalkan jejak untuk anak-anak ikuti.

“Selagi boleh, saya akan jaga dan letakkan sempadan untuk elakkan diri terlibat dengan perkara tidak elok,” katanya.

Namie mendirikan rumah tangga dengan Izzatul pada Mei 2021 dan dikurniakan cahaya mata, Ivy Alisa pada Mac tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya