KUALA LUMPUR: Masih berat menanggung kecewa gara-gara kritikan yang diterima di pentas program realiti, Famili Duo, malam tadi, penyanyi, Sissy Iman, 28, membuat keputusan membatalkan pelancaran album sulungnya, bulan depan.
Menurut Sissy atau nama lengkapnya, Sissy Imann Mohammad Kamil, dia sudah hilang rasa teruja untuk berkongsi mengenai album yang dirakamkan di studio Abbey Road, London itu, meskipun segala persiapan untuk majlis pelancaran telah siap.
“Tanggal 2 Februari adalah hari sepatutnya saya lancar cenderahati untuk album yang saya rakam tahun lepas di Abbey Road. Cakera padat (CD) fizikal sudah selesai cetak, kita tengah cetak mug, baju dan beberapa cenderahati lain.
“Kita siap rancang kumpul rakan-rakan media dan kawan-kawan rapat untuk sidang media dan kongsikan album yang saya buat dengan penuh kasih sayang ini.
“Tuhan sahaja yang tahu betapa terujanya saya, tetapi keterujaan itu mungkin sudah hilang. Pagi tadi bangun, bila nampak CD itu, saya rasa tidak boleh tengok,” katanya dalam satu hantaran yang dibuat di Instagram.
Menurut Sissy lagi, album tersebut dihasilkan menggunakan wang titik peluhnya sendiri selama 10 tahun berada dalam industri seni.
“Asalnya nak jual RM 50. Itupun tidak pulang modal, apatah lagi untung. Album ni memang menelan banyak sangat kos dan semua saya tanggung sendiri.
“Tetapi, saya tidak boleh melihatnya tanpa berasa sedih. Jadi, saya mahu ‘lepaskan’ album ini sebagai sumbangan,” katanya.
Bagaimanpun, tambah Sissy, dia terpaksa meletakkan sedikit harga untuk menampung kos penghasilan album berkenaan.
“Sumbangan bermula RM20. Saya minta maaf terpaksa letak harga untuk tampung sebahagian kos cetak dan pos. Terima kasih, semoga Allah merahmati anda semua,” ujarnya.
Persembahan Sissy dan Naim Daniel menerusi lagu Jampi nyanyian asal Hael Hussaini, malam tadi menerima komen pedas Mas Idayu yang menganggap, mereka tidak membawakan lagu tersebut dengan baik.
Bagaimanapun, Sissy tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata sebaik sahaja menerima kritikan berkenaan.
Sissy menyifatkan kegagalan memberikan persembahan cemerlang dalam program terus membuatkan dia sedar diri dan ruang tentang kelemahannya.