Bertembung konsert Blackpink, Malam Bulan Bintang tetap diteruskan - Utusan Malaysia

Bertembung konsert Blackpink, Malam Bulan Bintang tetap diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Berdepan dengan pertembungan tarikh yang sama dengan konsert artis popular antarabangsa, Blackpink, penganjur konsert Malam Bulan Bintang tetap tidak berganjak dan akan meneruskan acara mengikut perancangan pada 4 Mac ini.

Menurut pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kemungkinan kesesakan yang akan berlaku memandangkan konsert berlangsung secara bersebelahan iaitu di Axiata Arena Bukit Jalil manakala Blackpink pula di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kami sedia maklum mengenai penganjuran konsert yang berlaku pada tarikh yang sama dengan artis antarabangsa tersebut. Namun, segala perancangan sudah dilakukan lebih awal dan kami tetap akan meneruskan konsert mega Malam Bulan Bintang itu.

“Sebagai langkah keselamatan, kami sudah berbincang dengan beberapa pihak termasuk Prasarana Malaysia Berhad untuk menambah tempoh operasi Transit Aliran Ringan (LRT) bagi kemudahan pengunjung konsert nanti.

“Tidak cuma itu, kami juga menggalakkan pengunjung untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai alternatif. Malah kami juga sudah berurusan dengan pihak pengurusan Axiata Arena untuk menyediakan kawasan parkir berbayar untuk kemudahan peminat konsert Malam Bulan Bintang,”katanya.

Azzim berkata demikian semasa ditemui pada majlis sidang media konsert tersebut, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai konsert, kata Azzim, Malam Bulan Bintang merupakan sebuah acara yang berkonsepkan persembahan Islamik Kontemporari.

Konsert akan bermula pada pukul 8 malam dan akan membariskan artis terkemuka tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir, Salammusik, Raihan ft Alif Satar & The Locos, Faizal Tahir termasuk dua artis Indonesia, Sabyan dan Opick.

“Setiap tahun kami akan adakan sesuatu yang besar. Contohnya, tahun lepas kami muncul di papan iklan digital yang terpampang di persimpangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan ia menjadi bualan ramai.

“Tahun ini, kami mahu melakukan sesuatu yang berbeza dan timbul idea ini untuk menampilkan barisan artis popular tempatan dan antarabangsa.Tahun lalu,kami pernah adakan konsert Hausboom Music di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

“Ia dihadiri oleh 13,000 pengunjung dan mendapat sambutan hangat. Jadi, kami tak menolak, memang mencabar untuk buat konsert pada kali ini namun tetap berazam untuk melakukan sebaik mungkin,”katanya.

Tambah Azzim, persembahan setiap artis yang terlibat pada Malam Bulan Bintang juga akan diiringi oleh band orkestra terkemuka tanah air, diketuai oleh Pengarah Muzik, Chaan, demi memberi kepuasan buat penonton.

“Demi kepuasan peminat dan penonton, konsert ini juga kami sediakan tempat duduk yang bersudut 360 darjah serta sistem bunyi 360 darjah.

“Ia bertujuan untuk memberikan penonton pengalaman bunyi yang berkualiti tinggi selain berbeza daripada mana-mana konsert lain. Sesi perkongsian Ramadan daripada penceramah undangan juga akan turut diselitkan di antara persembahan artis,” kata Azzim.

Tiket boleh dibeli secara online di www.ticket2u.com.my dan harga tiket jualan bermula dari Early Bird (Silver): RM49, Silver: RM99, Gold: RM119, Platinum: RM149 dan VVIP: RM199

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya