KUALA LUMPUR : Penyanyi kelahiran Nigeria, Rema, kini tidak lagi dipandang sebelah mata apabila dia berjaya membuktikan kepada semua dengan meraih kedudukan pertama dalam Carta muzik Mena.
Carta tersebut baharu sahaja dilancarkan pada minggu lalu oleh Persekutuan Antarabangsa Industri Phonografik di Arab Saudi yang merangkumi muzik dari Timur Tengah dan Afrika Utara.
Rema meraih kedudukan tersebut menerusi kejayaan lagu duetnya bersama Selena Gomez yang berjudul Calm Down berdasarkan jumlah penstriman lagu itu di semua platform muzik dan media sosial.
Rema juga turut berbangga kerana Calm Down turut hit mendunia termasuk diangkat sebagai antara 10 lagu terbaik dalam carta muzik di Eropah, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Diterbitkan pada Februari lalu, muzik genre Afropop itu ternyata membawa tuah buat Rema selain kerjasamanya bersama pemenang Anugerah Grammy dan Emmy itu yang dilihat mengena dan tepat pada waktunya.
“Tiada kata yang mampu diluahkan selain terima kasih kepada semua peminat daripada pelbagai bangsa dan negara yang telah menjadikan lagu Calm Down ini sebagai pilihan anda sehingga ia diangkat antara lagu yang paling banyak mempunyai jumlah penstriman.
“Saya juga sangat gembira kerana ramai yang menyukai karya saya ini sekali gus membuatkan saya rasa berbangga kerana Calm Down juga berupaya meletakkan saya berada di tangga pertama dalam Carta Mena,”katanya.
Dalam pada itu, mengekor rapat di belakang Rema adalah penyanyi kelahiran Arab Saudi, Farid yang berada di tangga kedua menerusi lagu berjudul Ba’amaret.
Manakala di tempat ketiga adalah bintang dari Korea Selatan yang juga merupakan anggota kumpulan BTS, Jungkook yang menambat hati pendengar menerusi lagu baharunya berjudul Dreamers.
Lagu tersebut juga merupakan lagu pilihan sempena penganjuran Piala Dunia 2022 yang menyaksikan Jungkook membuat persembahan pembukaan yang memukau di Stadium Al Bayt di Qatar, Arab Saudi, baru-baru ini.