Pelajar jatuh asrama stabil, tunjuk tindak balas positif

Pelajar jatuh asrama stabil, tunjuk tindak balas positif

Pelajar asrama
HOSPITAL Sungai Buloh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pelajar tingkatan tiga yang terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam dilaporkan dalam keadaan stabil dengan menunjukkan tindak balas positif.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, bagaimanapun Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan pelajar lelaki itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, mangsa sudah pun menjalani prosedur khas bagi mengawal tekanan otak yang berjaya dilengkapkan dalam tempoh 48 jam pertama.

“Pada hari ketiga selepas rawatan, keadaan pelajar dilaporkan lebih stabil dengan tindak balas positif. Pasukan perubatan terus memantau keadaannya dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita, malam tadi.

Tambahnya, kerajaan negeri menzahirkan rasa simpati dan mendoakan pelajar itu segera pulih selain menyeru semua pihak memberi ruang kepada keluarga mangsa dan mengelak sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan emosi mereka.

“Kerajaan Selangor dan JKNS akan terus memantau perkembangan kesihatan mangsa dan memberi sokongan sewajarnya kepada keluarganya,” ujarnya.

Pelajar berusia 15 tahun dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah itu, Selasa lalu.

Keputusan imbasan tomografi berkomputer di hospital berkenaan mendapati mangsa mengalami pendarahan pada otak selain rahang patah dan kecederaan paru-paru.

Susulan itu, keluarga tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam, kira-kira pukul 5 pagi bagi tindakan lanjut.

Siasatan polis mendapati insiden itu tidak menunjukkan akibat kelakuan buli dan turut sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Malah, kelmarin Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari semalam memberitahu beliau dimaklumkan sekurang-kurangnya 12 individu sudah dipanggil memberi keterangan kepada polis susulan kejadian.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti situasi dan punca sebenar kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN