BAKAL membuka tirai tayangannya esok, filem Daddyku Gangster mempunyai kelebihan tersendiri. Mungkin bukan filem bergenre berat, tetapi humor dan jalan ceritanya tetap ada.
Menjalani penggambaran di Kelantan dan Kuala Lumpur, Daddyku Gangster membariskan nama hebat antaranya Zulhuzaimy, Faizal Hussien, Jay Iswazir, Reen Rahim dan ramai lagi pelakon popular.
Pengarahnya, Ismail Bob Hashim berkata, produksi yang menelan belanja RM2 juta itu sebenarnya tidak lari jauh daripada filem lain bergenre sama. Kelainan yang ditonjolkan hanya pada elemen kekeluargaan.
“Kalau ada yang cakap, kita sudah banyak filem berkisarkan gangsterisme dan kereta, saya tidak ada masalah. Penonton tempatan tidak mahu tengok kelainan. Kalau kita buat filem lain daripada lain, orang kita tidak mahu tengok.
“Di sebalik persamaan itu, saya suntik elemen kekeluargaan mengenai seorang gangster yang terpaksa menjaga anak-anak saudara selepas kematian abang kandungnya.
“Itu kelainannya yang saya tonjolkan. Seganas mana seorang lelaki, pasti akan kalah dengan kanak-kanak,” katanya.
Jika itu acuannya, sudah pasti penonton juga sudah boleh mengagak jalan cerita dan pembinaan plot filem tersebut. Seperti kurang ‘rempah-ratusnya’, penulis tercari-cari di mana ‘gangster daddynya’ itu.
Dia digambarkan sebagai ketua kumpulan pencuri kereta yang turut terlibat dalam underground fight secara haram.
Namun, hanya beberapa babak curi kereta dan perlawanan secara haram, ia belum cukup menjadikan Ray seorang gangster. Dia cuma dilihat sebagai seorang lelaki panas baran dan tidak suka kanak-kanak.
Tetapi, mungkin itu yang menjadi keistimewaan filem yang turut menampilkan pelakon baharu kanak-kanak, Angelica Petra dan Arryyan Petra itu. Tidak perlu gusar fikiran, nikmati sahaja lawak jenaka yang ada.
Malah, babak perlawanan yang dilakukan sendiri Zulhuzaimy turut menambah tarikan filem tersebut. Pelakon itu memilih untuk melakonkan sendiri babak pergaduhan demi kepuasan dan suntikan realiti pada watak Ray.
“Ketika saya baca skrip, saya tidak nampak di mana kelakarnya filem ini. Tetapi, apabila menonton hasilnya, saya tergelak sendiri. Kelakar yang tidak dipaksa dan dibuat-buat. Penghargaan buat abang Ismail Bob sebagai pengarah.
“Babak berlawan pula memang saya menolak untuk menggunakan stuntman. Cuma, khidmat pelakon aksi lagak ngeri diperlukan pada satu babak yang menuntut saya terjun dari tingkat dua.
“Selebihnya, saya lakonkan sendiri walaupun mengalami bengkak dan luka sana-sini. Tetapi, kepuasan itu sukar dicari ganti. Kami menjalani latihan selama dua minggu sebelum masuk set.
Alhamdulillah, bila tengok filem itu, semuanya berbaloi,” kongsinya.
FAIZAL JADI PENYELAMAT
Penghargaan juga harus diberikan kepada pelakon legenda, Faizal Hussien yang menyelamatkan Daddyku Gangster. Gelagat dan karakternya membuatkan penonton yang hadir ketika sesi tayangan perdana tempoh hari tidak kering gusi.
Malah, adil jika ramai yang menganggap dia pelakon utama filem tersebut. Apatah lagi, babak di mana dia terpaksa ‘berkorban’ demi Alisha (kanak-kanak perempuan), membuatkan ramai yang tersentuh.
Faizal berkata, cabaran utama melakonkan watak Karim adalah untuk mendapatkan keserasian dan ‘bersabar’ dengan gelagat dua pelakon cilik yang kali pertama berlakon. Apatah lagi, kanak-kanak punya tempoh ‘tenang ’mereka sendiri.
“Saya selalu utamakan watak berat dan susah, Tetapi, untuk filem ini, cabaran utamanya adalah berlakon dengan dua kanak-kanak. Mereka ini ada masa baik dan tenang, ada masanya pula ‘memberontak’.
“Saya perlu pastikan ada pertalian dan keserasikan antara kami. Saya tidak mahu keserasian itu nampak janggal dan dibuat-buat. Apabila tengok hasil, berbaloi segala masa yang kami luangkan untuk mendapatkan keserasian itu,” ujarnya.
Setiap pelakon juga membawakan watak masing-masing dengan baik. Zulhuzaimy, seperti yang kita tahu, watak sebegitu memang ‘makanannya’. Lakonannya begitu bersahaja dan tidak nampak janggal.
Namun, kemunculan beberapa pelakon lain perlu difikirkan semula. Bak kata pelakon, Zalif Sidek, mereka hanya pelengkap naskhah terbitan D’Ayu Pictures Sdn. Bhd itu. Penambah perisa Daddyku Gangster.
Secara keseluruhan, filem ini boleh dijadikan tontonan keluarga dan tidak memerlukan kita untuk berfikir di luar kotak. Ada jenaka dan ada sedihnya. Tidak perlu pening-pening kepala fikir jalan keluar.










