fbpx

Sokongan ‘menggila’ filem Mat Kilau, penerbit luah rasa terharu

KUALA LUMPUR : Penerbit dan pengarah urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali, meluahkan rasa syukur dan terharu apabila menerima respons luar biasa daripada peminat dan penonton terhadap filem terbitannya, Mat Kilau yang memulakan tayangannya pada 23 Jun lalu.

Menurut Abdul Rahman, sehingga kini respons yang menggalakkan diterimanya dan ia menyaksikan satu perkembangan yang sihat dalam industri perfileman tanah air.

“Pihak Studio Kembara berasa sangat bersyukur serta terharu di atas respon-respon positif dan sangat mengalakkan yang diterima dari pelbagai pihak termasuk media dan para penonton yang hadir ke panggung wayang sejak Khamis minggu lalu,”katanya.

Selain itu, kata Abdul Rahman, setelah sekian lama berusaha gigih untuk menghasilkan filem yang membangunkan kecintaan tanahair ini, ia telah disambut dengan begitu baik dan seharusnya ia menjadi satu penghargaan buat dirinya.

Malah kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke acara tayangan perdana filem tersebut turut menunjukkan bahawa hasil kerja anak tempatan mendapat perhatian dari pelbagai pihak.

“Saya ingin merakamkan rasa dan penghargaan terima kasih khas kepada pihak Finas kerana menyokong dan membantu menjayakan projek filem ini dari awal lagi sehingga akhir.

“Kehadiran Pengerusi Finas, Datuk Seri Hajah Zurainah Musa dan Ketua Eksekutif Finas, Profesor Dr. Md Nasir Ibrahim ke tayangan perdana filem ini terus membuktikan komitmen pihak Finas untuk membantu memajukan industrI perfileman negara.

“Pihak Studio Kembara juga bersyukur ke hadrat Ilahi atas sambutan hangat yang diterima terhadap filem Mat Kilau- Kebangkitan Pahlawan serta ingin juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penonton yang datang membanjiri pawagam- pawagam seluruh negara dan di Singapura serta Brunei. Kami merasa terharu atas sambutan yang sangat memberangsangkan ini,”katanya.

Selain itui, tambah penerbit ini lagi, catatan kutipan jualan tiket hari pertama yang dianggap sebagai rekod tertinggi memberikan makna yang sangat bererti kepada seluruh produksi dan tenaga kerja Studio Kembara malah buat industri ini amnya.

Ini antara lain katanya, memberikan mesej bahawa penonton ternanti-nantikan sekian lama sebuah filem seperti ini dan membuktikan mereka benar-benar menyokong penerbit yang mengeluarkan filem sebegini.

“Saya mendapat berita bahawa ada penonton yang sudah 50 tahun tidak memasuki pawagam namun terpanggil untuk menonton filem yang sarat mesej lagi menghiburkan ini.

“Filem ini berbaloi untuk ditonton kerana dengan pelaburan hanya sekitar RM20, penonton dapat berhibur serta mendapat intipati kepada pelbagai tajuk kefahaman asas berkaitan Islam dan kenegaraan, kecintaan pada tanahair, fiqah dalam mempertahankan tanah air, persaudaraan, amanah, kesetiaan kepada negara dan kesetiaan kepada persahabatan.

“Malah isu pembelotan dan khianat dari kacamata Islam dan kepimpinan dibawakan dalam filem ini,”katanya yang menyifatkan hanya dengan dua jam tontonan, segala ini dapat difahami.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!