fbpx

Paksa diri, nanti akan jatuh cinta nak tutup aurat -Isteri Haqiem Rusli.

PETALING JAYA: Isteri kepada penyanyi berbakat besar, Haqiem Rusli, Anis Sofea, tampil berkongsi pengalaman dirinya mula berhijab sejak lapan bulan lalu.

Perkara tersebut dikongsikan anak kelahiran Kelantan itu menerusi sebuah bebenang di platform Twitter.

Menurut Anis, dia mendedahkan pada permulaan dirinya agak sukar untuk kekal istiqamah berhijab malah mempunyai perasaan serba tidak kena.

Selain itu, Anis juga pernah terfikir untuk membuka semula hijab namun lama-kelamaan dalam rasa keterpaksaan itu bertukar menjadi cinta.

“Nak cerita sedikit boleh, tentang perubahan Fea berhijrah memakai hijab, pada mulanya memang berat dan susah sangat sangat Fea untuk istiqamah menutup aurat.

“Alhamdulillah, Allah permudahkan. Sudah masuk lapan bulan Fea memakai hijab. Mula-mula itu memang rasa serba tak kena.

“Dan pernah juga terasa macam ‘hm nak buka tudung balik lah’, tapi betul lah orang kata bila kita paksa diri kita, lama-lama akan jatuh cinta untuk nak menutup aurat,” ciapnya panjang di Twitter.

Dia bagaimanapun akui masih belum sempurna dalam menutup aurat selain memohon orang ramai untuk mendoakan yang baik-baik buat dirinya.

“Tetapi untuk sekarang, memang Fea tidak menutup aurat dengan sempurna lagi, bagaimanapun semua doakan Fea ya!

“Selain itu, Fea juga nak beritahu alhamdulillah kini rasa tenang dan cantik sahaja memakai tudung (haha perasan).Macam mana nak cakap eh, kadang kala lebih suka melihat diri sendiri memakai tudung dan suka melihat perempuan di luar sana yang memakai tudung, nampak manis sahaja!” ujarnya.

Sekadar informasi, pasangan merpati dua sejoli itu mendirikan rumah tangga pada 19 November tahun lalu di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!