fbpx

22 Mei 2022, 7:11 am

  TERKINI

Jujur, Ikhlas, Amanah, tak payah bomoh-bomoh! – Rosnah Mat Aris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Empat belas tahun bergelar isteri kepada suami muda, pelakon veteran, Rosnah Mat Aris, 67, menyangkal anggapan liar bahawa dia mengamalkan perkara syirik termasuk menggunakan khidmat bomoh untuk mendapatkan lelaki muda.

Bagi Rosnah, perkara tersebut tidak pernah terfikir di akalnya memandangkan ia adalah sesuatu yang ditegah oleh agama Islam.

“Saya tak nafikan, memang ada yang datang bertanya pada saya apa rahsia dapat bersuami muda. Tapi mereka fikir saya guna sihirlah. Buat orang lelaki itu jadi bodoh.

“Saya marah dan tanya balik pada mereka, engkau rasa kalau guna sihir, kau nak ke buat laki kau jadi bodoh, nak bawa berjalan pun dia tunduk saja?

“Tolonglah, tak mainlah benda macam itu. Nak ‘ikat’ suami, guna tiga cara ini saja. Jadilah isteri yang jujur, ikhlas dan amanah. Tak payah bomoh-bomohlah!”katanya.

Rosnah berkata demikian semasa ditemui pada majlis tayangan perdana filem Tiga Janda Melawan Dunia di ibu kota, baru-baru ini.

Selain itu, kata pelakon ini lagi, dikurniakan rezeki berkahwin dengan suami muda bukanlah satu impiannya namun itu adalah apa yang dihadiahkan oleh Allah SWT buat dirinya selepas sekian lama hidup menjanda.

“Saya sebelum ini selalu berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan seorang suami yang boleh menjaga saya. Iyalah, kalau sakit pening kita, dia boleh tengok dan jagakan. Bahkan, saya pernah berharap, kalau saya mati pun nanti, biarlah di pehanya.

“Jadi, kalau ada yang tuduh saya guna bomoh, itu adalah satu tuduhan tak betul. Kalau nak selamat rumah tangga, hidup harmoni, pegang pada tiga perkara yang saya cakap tadi,”katanya.

Bagaimanapun, kata Rosnah, ketika mula berkahwin dahulu, pernah saja dia dilemparkan dengan pandangan buruk sebegitu selain ada yang mendoakan keruntuhan rumah tangganya bersama suami.

“Bukan tak pernah ada yang mendoakan perkara buruk. Mereka kata, alahai setahun dua lagi bercerailah itu. Alhamdulillah, sampai sekarang perkahwinan saya dengan suami masih bertahan.

“Dia melayan saya dengan baik dan memanjakan saya. Malah, dia kata, tak perlu pedulikan orang lain kerana ramai yang sebenarnya cemburu dengan kebahagiaan kami,”katanya.

Menurut Rosnah, meski dia dan suami, Tajul Effendie Isa, 41, mempunyai jurang perbezaan usia 26 tahun, tetapi suaminya itu sebenarnya mempunyai jiwa bak orang lama, lebih tua daripadanya.

“Lain benar cara dia. Walaupun usia muda lagi daripada saya, tetapi caranya itu macam tak kena dengan usia dia. Cara dia hormat saya sebagai isteri, tidak meninggi suara, memanjakan, membuat saya rasa sangat bersyukur mempunyai dia sebagai teman hidup.

“Bayangkan, saya yang kasar ini pun boleh jadi lembut kerana dia. Siapa yang kenal saya dulu tahulah saya ini macam mana. Kasar dan lasak. Pendek kata, dia banyak merubah saya menjadi seorang insan yang lebih baik,”katanya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI