Lokasi penggambaran bukan sekolah lakonan - Erma Fatima - Utusan Malaysia

Lokasi penggambaran bukan sekolah lakonan – Erma Fatima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARANGKALI ada benarnya apabila pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima, menyuarakan pandangan bahawa industri seni lakonan tanah air kita bagaikan sudah ketandusan pelakon-pelakon baru.
Hal itu dinyatakan ketika dia membuka ruangan uji bakat di Instagramnya baru-baru ini bagi mencari pelakon baru untuk menjayakan penggambaran drama 30 episod terbarunya yang berjudul Perempuan Itu.
Rasanya ramai akan bersetuju bahawa industri dan stesen televisyen balik-balik memaparkan pelakon yang sama sahaja untuk mana-mana drama yang sedang ditayangkan.
Buka siaran satu, wajah pelakon si polan. Buka siaran dua, pun sama juga, wajah si polan yang menghiasi kaca TV. Ini bukan soal hendak mempertikaikan rezeki pelakon-pelakon tertentu. Tak ada niat pun.
Cuma, betul juga. Balik-balik muka sama sahaja menjadi halwa mata penonton, maaf cakap, bosan juga. Mana variasinya?

Adakah Erma nyata sudah muak dengan wajah-wajah pelakon sedia ada?
Iyalah, kita berebut orang yang sama. Saya nak beri peluang kepada orang baru, bukan sahaja kepada hero, tetapi kepada pelakon tambahan lain. Jangan ingat pelakon tambahan ini tak penting. Adakala, pelakon tambahan inilah yang menjahanamkan adegan. Sebab dia tak boleh berlakon. Sedangkan ramai lagi yang ada bakat, nak berlakon tapi tak ada peluang.

Apa maksud Erma pelakon tambahan adakala boleh menjahanamkan adegan?
Macam ini. Selalunya, produksi akan minta bantuan agensi bakat untuk mencari pelakon tambahan. Tapi agensi ini pula, main hantar saja pelakon-pelakon itu tanpa diberi latihan, tak pilih yang betul-betul boleh berlakon. Main hantar saja. Jadi bila sampai di set, mereka nampak bodohlah berlakon. Pengarah tak ada masa nak ajar. Kalau lebih masa di set, ia akan menyentuh juga soal bajet. Jadi, nak tak nak, pakai sajalah pelakon tambahan itu walau memang tak boleh berlakon pun. Itu yang biasanya akan merosakkan adegan sesebuah drama. Walaupun dia pegang watak doktor dan sebut sepatah dialog sekali pun, kena ingat ya. Sepatah dialog itu pun memainkan peranan tahu.

Erma bersetuju yang sememangnya industri sedang ketandusan pelakon-pelakon baru yang betul-betul boleh berlakon?
Memang pun. Sebab itulah saya buat inisiatif sendiri untuk mencari pelakon baru. Tapi, ini bukan main ambil saja. Kita buat uji bakat dengan betul dan tengok kesesuaiannya. Kita nak beri mereka peluang.

Tapi, dari satu sudut, stesen TV pun main peranan. Biasanya mereka ini ada senarai artis tertentu yang mereka mahu. Kalau bukan artis kegemaran mereka, tak akan diambil. Komen?
Itulah. Kadangkala stesen ini pun meminta juga. Tetapi untuk drama ini, kita bukan beri pelakon baru ini watak utama. Mereka diberi watak pembantu. Kenalah bermula dari bawah. Tak bolehlah terus jadi hero dan heroin. Kena ada pengalaman juga. Berlakon memang boleh berlakon. Semua orang boleh, tapi kebanyakan mereka adalah pelakon luaran, yang sungguh-sungguhnya cuma di luaran. Yang ada nilai ‘inner acting’ ini yang susah nak cari.

Adakah dengan mencari wajah-wajah baru ini juga sebagai petanda bahawa produksi nak catu bajet?
Saya berikan peluang untuk mereka bukan watak besar. Mereka kena mula dari bawah. Hero dan heroin saya tetap nama-nama besar. Zul Ariffin hero saya, heroin pula Mimi Lana. Pelakon besar lain yang terlibat seperti Eman Manan, Umie Aida. Semua nama besar masih saya perlu bayar mahal. Ini adalah orang yang kau akan hadap sekali gus untuk belajar cara mereka berlakon.

Apa pula pandangan Erma bila orang kata industri masih mementingkan rupa berbanding bakat?
Itu pun kita terpaksa telan. Tengok rupa tapi bodoh berlakon, payahlah juga. Kalau berlakon setakat cerita yang mudah, tak ada masalah. Ini cerita berat. Sebab itu, kalau cerita berat, hanya pelakon tertentu saja yang boleh bawa. Tak semua orang boleh bawa dengan baik. Kalau awak nak seni lakon yang bagus, awak kena ambil pelakon bagus. Kerana, set dan lokasi penggambaran bukan tempat nak belajar berlakon. Jangan awak harap, bila hantar seangkatan pelakon baru di set, di situ jugalah nak harap pengarah dan pelakon lain tolong ajar. Pengarah pun ada babak yang perlu diselesaikan setiap hari. Set penggambaran bukan sekolah lakonan! Ia adalah platform untuk seseorang itu asah lakonannya.

Tapi ada yang beranggapan begitu, bagaimana ya Erma?
Kalau ada yang rasa dan harap untuk pengarah tatang dan tepuk-tepuk manja, mengajar awak di set, ini bukan tempatnya. Awak datang zero, kosong. Tak ada masalah orang lain di set nak mengajar di set. Apatah lagi, yang dikerjakan itu adalah sebuah drama, berepisod lagi. Orang ada garis mati nak dikejar. – Kolum Jawablah! PANCAINDERA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya