fbpx

Saya komen sebab sayangkan GV, sayangkan Malaysia – Hetty Koes Endang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Cukup sedar bahawa setiap kali dirinya dianggap terlalu berbisa dan lantang dalam memberikan komen saban minggu di pentas Gegar Vaganza (GV), penyanyi bertaraf legenda, Hetty Koes Endang memohon maaf andai ada pihak atau peserta yang tersinggung.

Kata Hetty yang mesra disapa sebagai Bunda, dia perlu berbuat demikian kerana tanggungjawab yang dibawanya mudah mudah dan ia dilakukan kerana rasa sayang yang mendalam pada program tersebut dan negara ini.

“Maaf kalau ada yang tersinggung selama saya mengendalikan tugas sebagai juri di program GV. Kalau bukan kerana sayang, saya tak akan tinggalkan anak dan cucu tercinta saya,Arlo Astrodistira Arsanda di Indonesia.

“Saya buat semua ini semua demi Astro, GV, dan juga Malaysia,”katanya.

Hetty berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas program tersebut melabuhkan tirainya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Selain itu, kata Hetty, dia sedar dirinya bukanlah seorang guru dalam bidang muzik namun fokusnya adalah dalam memberikan perkongsian pengalamannya dalam bidang seni setelah 50 tahun mengabdikan diri.

“Pentas pertandingan ini adalah pentas yang memberikan banyak tentangan buat kita di barisan juri kerana peserta terdiri daripada pelbagai genre. Minggu pertama, saya tak kenal siapa Aliff, Suki, Aweera, Niki dan semua. Saya adil.

“Saya teliti dan dengar kelebihan dan kelemahan mereka pada minggu pertama. Mungkin dari situ lagi ramai yang tak senang dengan komen-komen saya.Tapi saya bukan cikgu, saya lebih kepada berkongsi pengalaman.

“Saya akan beritahu di mana yang bagus dan di mana salahnya setiap kali peserta buat persembahan. Sebagai peserta, sewajarnya mereka harus dengar apakah keinginan juri, bukan keinginan netizen kerana yang menilai adalah juri,”katanya.

Dalam pada itu, Hetty turut mengingatkan setiap peserta mahupun pemenang pertandingan GV8 agar sentiasa mencari identiti pada nyanyian masing-masing.

Tidak berniat untuk menghentam atau merendahkan kebolehan masing-masing, tetapi kata Hetty, dia yakin dalam bidang seni suara, identiti adalah keutamaan dan kunci kepada kejayaan seseorang artis selain bakat.

“Kena gali lagi, jangan cepat rasa puas hati dan rasa suara sendiri sudah begitu bagus. Dalam bidang seni suara ini, kalau boleh, setiap kali buat persembahan tak kisahlah di pentaskah, di festivallah, di acara dan majlis, sentiasa berikan yang terbaik.

“Saya harap, pemenang-pememang pada program GV ini juga akan ingat pesanan saya ini. Contoh macam Aliff, saya tahu dia lebih terbuka menerima teguran. Kalau dia masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri, mungkin dia pun tak jadi juara semalam.

“Dia buktikan dia mahu berjaya dan maju. Bagi saya, dia layak bergelar juara musim ini,”katanya.

Aliff di pentas akhir GV8 semalam berjaya membawa pulang gelaran juara selain wang tunai berjumlah RM100,00 dan trofi. 

Sementara itu, tempat kedua pula dimenangi oleh Nikki Palikat yang berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM50,000 termasuk trofi.

Suki Low serta Adibah Noor pula masing-masing diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga dan keempat yang  membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 dan RM20,000 serta trofi.

Selain itu, Azan Scan dan Aweera masing-masing menduduki tangga kelima dan keenam yang membawa pulang duit sebanyak RM15,000 dan RM10,000 bersama trofi.

POPULAR

KOSMO! TERKINI