Tak semua penyanyi boleh bawa lagu orang lain - Datuk Hattan - Utusan Malaysia

Tak semua penyanyi boleh bawa lagu orang lain – Datuk Hattan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSEMBAHAN Datuk Fazley Yaakob pada minggu keempat program realiti Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) sebagaimana yang diketahui ramai, telah menyaksikan pengundurannya di pentas tersebut.

Membawakan lagu Mahligai Syahdu nyanyian asal Datuk Hattan,ada segelintir pihak menganggap lagu tersebut adalah punca kekalahan Fazley.

Tolak tepi soal kecaman dari minggu ke minggu yang sering sahaja terpalit pada penyanyi tersebut. Tempoh hari, ada berpandangan, andai saja Fazley membawakan lagu lain dan bukan lagu Hattan, tentu dia masih mampu lolos ke peringkat seterusnya.

Apa masalahnya dengan lagu tersebut? Begitu sukarkah sehingga Fazley dianggap tidak layak untuk membawakannya untuk bertanding di pentas besar itu?

Berikut adalah komen daripada penyanyi asal berhubung perkara ini.

Barangkali Datuk sudah tahu apa yang berlaku terhadap Fazley yang sudah tersingkir dalam program GV8 minggu lalu. Komen Datuk berhubung perkara ini?

Sejujurnya saya tak tonton program tersebut minggu lalu. Jadi tak adil lah untuk saya menilai Fazley tanpa melihat persembahannya tempoh hari. Saya memang tak tengok.

Tapi adakah Datuk tahu bagaimana kecaman demi kecaman diterima oleh Fazley sepanjang berada di program tersebut?

Bagi saya, soal kecaman ini, kalau boleh tak payahlah kita sibuk nak hentam orang sangat. Macam keretalah, kadangkala bila sudah dua atau tiga tahun tak jalan, ia rosak, biasalah.

Adakah Datuk rasa Fazley berusaha sehabis baik untuk membawakan lagu tersebut?

Saya sepatutnya membantu dia. Tapi saya tak boleh buat apa-apa sangat sebab emak saya meninggal dunia baru-baru ini. Fazley ada hubungi saya menerusi panggilan telefon, minta saya tunjuk ajar. Tapi saya tak sempat hendak ajar dia.

Timbul pandangan mengatakan lagu Mahligai Syahdu itu tiada orang lain yang boleh bawa selain Datuk.

Kadang-kadang memang begitu. Tak semua penyanyi boleh menyanyikan lagu semua orang. Contohnya, macam sayalah. Ada juga lagu orang lain yang saya tak boleh nyanyikan. Contohnya, saya tak boleh bawa lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza. Begitu juga dengannya yang mungkin tak boleh bawakan lagu saya. Pendek kata, tak semua orang sesuai bawakan sesebuah lagu penyanyi asal itu.

Apa pandangan Datuk mengenai artis yang sudah lama tak aktif, tiba-tiba muncul jadi peserta untuk program di kaca televisyen seperti ini?

Program televisyen ini sebenarnya tiada paksaan. Kalau seseorang artis itu pilih untuk masuk, terpulanglah pada dia, masuklah. Stesen tv pun cuma meneruskan bisnes mereka. Tapi sebagai artis, kitalah yang kena fikir masak-masak. Nak masuk atau tidak, saya faham kerana sesetengah daripada mereka mungkin menjadikan ini sebagai satu platform.Mungkin ada antara mereka yang dah lama tak keluar, dah lama relaks. Ada baik dan buruknya. Apa yang bagus ialah, mereka yang menyertai ada peluang untuk naik semula.

Kalau dari sudut yang buruk, agaknya apa pula Datuk?

Macam yang kita semua dapat lihatlah. Bila ada kesilapan, memang artis terbabit akan menjadi sasaran mudah untuk kena bantai dengan penonton dan peminatlah. Tapi, dalam isu Fazley ini, kita nak hairan apa. Dia seorang pakar motivasi. Jadi tak ada hal. Dia tak kisah pun sebenarnya untuk menyanyi atau tidak. Eh, dia sudah kayalah!

Maksudnya Datuk pun boleh rasa yang dia cuma nak mencabar diri di pentas itu?

Saya percaya dia cuma nak mencabar diri saja. Dari aspek itu saja. Tapi apa pun, dia sudah cuba untuk membawakan lagu saya, itu yang saya kagumi. Apa pun keputusan, saya hormati. Tapi memang benar, lagu itu, kalau tak cukup jiwa, memang tak boleh bawa dengan baik. Saya pun ada beritahu dia ketika lagu itu dibuat, arwah ayah saya meninggal dunia. Sebab itu judulnya Mahligai Syahdu.

Datuk, saja nak usik-usik. Kalau Datuk sendirilah, agak-agak sanggup tak jadi peserta GV macam Fazley?

Mana boleh pihak stesen TV hendak tawarkan pada orang macam saya, nanti mereka tak larat nak bayar. Lagipun, buat apa saya hendak masuk? Saya sudah terbang tinggi. Tanyalah pada Datuk M Nasir, Amy Search ke Awie pun, kami semua bukan tahap itu. Bukan nak membangga diri, tapi kami tahu nak pasarkan diri di mana. Tak perlu benda-benda begini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.