MENGENALI lelaki ini, dia seorang yang cukup tenang. Jiwanya tidak mudah diusik rasa marah dan galau. Dia seorang yang sangat pandai menyimpan segala rasa hati supaya tidak tersurat di raut wajahnya.
26 tahun dalam industri bukan satu jangka masa yang pendek. Hanya enam tahun bezanya jika diukur dengan umur saya. Dia sudah ‘lama’ dalam industri. Bersatu dengan seni melalui caranya tersendiri.
Mungkin di mata segelintir Datuk Fazley Yaakob hanyalah seorang cef selebriti yang tugasnya memasak sambil menghiburkan. Namun tahukah anda, pengetahuannya dalam dunia muzik juga cukup luas dan mengagumkan?
Tidak hairan dia berani melangkah ke dunia Gegar Vaganza (GV) yang memerlukan segala kudrat, baik dari segi emosi dan fizikal.
Selain demi keluarga tercinta, dia tahu ilmu juga harus dibariskan sama supaya tidak janggal apabila beraksi.
“Saya boleh bermain piano, gitar dan pelbagai alat muzik lain. Saya belajar tentang muzik. Sehingga kini masih belajar juga. Saya bukan jenis yang mudah berhenti apabila sudah mula berlari.
“Seni, masakan atau apa sahaja bidang sekalipun, kita perlu sentiasa menimba ilmu. Tidak dinafikan GV8 ini, persediaan sudah mula dirangka sejak enam bulan lalu.
“Saya mula aktif bersukan untuk meningkatkan stamina. Malah, saya juga masuk kelas vokal. Sudah lama tidak menyanyi dalam skala besar kan, perlu bersedia,” katanya.

Datuk? Bukan boleh bawa mati.
Sengaja saya mengusik Abang Asmara ini bagaimana jika dikritik oleh juri profesional? Sementelah, gelaran Datuk yang disandang mungkin akan membuatkan ada yang tidak berani memberi kritikan.
Seraya tergelak kecil, Fazley pantas menjawab; Ada apa dengan pangkat dan darjat?
Ya, dia bukan seorang yang hidup berpaksikan pujian dan terkubur dek kejian. Berdirinya atas satu keyakinan, Tuhan itu Maha Besar.
“Saya pernah jadi juri dalam pelbagai program realliti. Baik masakan, nyanyian dan banyak lagi. Tetapi kali ini, topi juri bertukar milik. Saya juga tahu diri akan dikritik. Saya mohon, kritiklah saya. Baik atau buruk.
“Setiap juri mempunyai kelebihan dan pendapat masing-masing. Kritikan bukan satu penghinaan sebaliknya ilmu yang dikongsi bersama. Gelaran datuk? Bukan boleh bawa mati pun,” katanya.

Saya segera mencelah; “Itu jika kritikan juri, semua hebat-hebat. Kita tahu. Tetapi bagaimana pula dengan komen netizen yang masing-masing kononnya sudah menyanyi berpuluh tahun lamanya?”
Tergelak bapa kepada empat orang anak ini sebelum menjawab;
“Kecaman netizen ini, sebelum saya masuk GV pun sudah berbakul-bakul diterima. Saya juga suka membaca sendiri tau apa yang mereka kecam. Kadang gelak, kadang saya jawab sahaja” katanya.
Bukan terima semua tawaran
Saya pernah berpeluang melihat sendiri jadual yang sudah disusun awal untuk pemilik nama sebenar, Ahmad Fadzli Yaakob ini. Bermula awal pagi sehingga ke lewat malam, setiap hari. Tertanya juga bagaimana dia menjalani hidupnya.
Malah dengan pelbagai kolaborasi termasuk terbaharu, Aya Real Food, ramai pasti mahu mengorek rahsianya dalam menyusun jadual kerja? Tetapi ada juga yang sempat ‘mengusik’ nakal, tamak sangat ke kaut semua tawaran?
“Memang sibuk tetapi saya mempunyai pasukan pengurusan yang cekap dan efisien. Tidak pernah timbul soal hilang fokus kerana semua sudah disusun awal untuk memastikan segalanya berjalan lancar.
“Malah, untuk menerima sesebuah tawaran juga bukan semudah mematahkan sebatang pensil ya. Saya perlu mencuba dahulu. Kita kaji pasaran dan produk yang mahu berkerjasama. Contohnya Aya Real Food ini.
“Saya hantar dahulu kepada teman terdekat untuk mencuba. Malah, saya tahu produk Aya ini membantu orang untuk makan secara sihat. Sebab itu saya berminat dan bersetuju untuk menjadi duta,” katanya.

Ditanya adakah anak-anaknya mula menunjukkan minat dalam dunia masakan, Juara MasterChef Selebriti Malaysia pertama tidak menafikan, anak sulungnya, Ahmad Fariedz Shah seperti mahu menjejaki langkahnya.
“Saya menyokong apa sahaja minat mereka. Beri kebebasan. Seperti Fariedz, memang nampak dia minat memasak sejak umur 7 tahun. Dia mahu jadi cef. Dia juga ada perniagaan nasi lemaknya sendiri tau!” katanya.











